Indeks Jenayah Menurun Lepas ISA Dihapuskan - Khalid Abu Bakar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
TANAH MERAH – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata indeks jenayah negara menunjukkan trend menurun sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan pada 2009.

Beliau memberikan contoh pada tahun lepas, polis berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara ini sebanyak 12.6 peratus.

Katanya dakwaan kononnya terdapat peningkatan kadar jenayah sejak ISA dihapuskan sebenarnya dimainkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Sejak pengumuman Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 2009, indeks jenayah terus menunjukkan penurunan. Polis juga buat penambahbaikan iaitu anggota yang bertugas di pejabat turut diarahkan bertugas di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kepolisan Komuniti bersama-sama kira-kira 300 penduduk Kampung Rambai Lama di sini, Isnin.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha.

Semalam di laman blog rasmi miliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan kerajaan serta memberikan maklum balasnya.

Antara perkara yang disenaraikan termasuklah dakwaan bahawa jenayah meningkat sejak ISA dihapuskan.

Dalam pada itu, Khalid berkata di sesetengah kawasan yang masih wujud perasaan tidak selamat dalam kalangan masyarakatnya, polis akan mengambil langkah wajar untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Mengulas mengenai Ops Warta bagi memburu pesalah trafik, Ketua Polis Negara berkata polis akan mula mencari pesalah jalan raya yang masih belum membayar saman bermula Selasa.

“Kita dah beri banyak masa dan ruang kepada pesalah untuk membayar saman mereka yang tertunggak. Tak timbul isu tindakan ini dilihat keras oleh sesetengah pihak … ada pelbagai medium untuk menyemak kesalahan (saman),” katanya.

Pada majlis itu, Khalid menyampaikan surat penghargaan kepada 28 anggota dan pegawai polis, pegawai perubatan dan penduduk Kampung Rambai Lama yang terlibat menyelamatkan empat pegawai polis dalam kejadian helikopter PDRM terhempas ketika menghantar bantuan makanan ke kampung itu semasa banjir Disember lepas. – BERNAMA