KEDENGARAN agak janggal, namun realitinya terdapat segelintir umat Islam yang tidak menunaikan solat walaupun telah mencecah usia pertengahan umur malah berstatus warga emas.
Menjadikan alasan tidak tahu kerana kurang mendapat pendidikan atau tidak dititikberatkan oleh keluarga pada awal usia, kewajipan umat Islam menerusi rukun Islam kedua itu dianggap boleh dilakukan atau ditinggalkan sesuka hati.
Namun kini, tiada lagi alasan untuk mengatakan tidak tahu menunaikan solat atau sebarang dalih untuk meninggalkan solat ketika dalam situasi luar pada kebiasaan dengan wujudnya peralatan teknologi semasa.
Pelbagai inovasi pintar dihasilkan secanggih di hujung jari menggunakan telefon pintar bagi membantu memudahkan pelaksanaan ibadat solat pada waktu, tempat dan arah kiblat yang disediakan.
Sejadah elektronik
Ia sebagaimana yang dihasilkan oleh bekas pelajar jurusan Diploma Bioteknologi, Technology Park Malaysia College (TPM College), Nik Noor Syamimi Ismail, 21, yang berjaya mencipta alat bantu solat menggunakan sejadah yang dikenali SmartSolat.
Sejadah interaktif yang menghubungkan dengan peralatan elektronik itu mampu membantu individu yang tidak tahu menunaikan solat atau baru pertama kali melakukan solat untuk membuat pergerakan dan bacaan dalam solat dengan betul.
“Melalui arahan lampu LED yang ada pada sejadah dan animasi pergerakan solat pada skrin tablet atau komputer yang disambung pada sejadah, pengguna dapat meniru gerakan yang ditunjukkan pada paparan skrin tersebut. Ia juga disertakan dengan bacaan tulisan yang perlu disebut oleh pengguna untuk melakukan solat.
“SmartSolat merupakan inovasi untuk membantu umat Islam mempelajari serta memperbetulkan solat terutamanya golongan kanak-kanak, saudara baharu (mualaf) dan yang ingin memperbaiki solat dengan lebih baik,” katanya.
Ciptaan Noor Syamimi bersama rakannya, Norshakirin Nazarudin, 25, jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Pameran dan Persidangan Inovasi Nasional (NICE) 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Berkongsi idea rekaannya, Noor Syamimi berkata, terlintas ketika mengikuti Bengkel MyIdeas dan diberi peluang untuk berkongsi idea kasar pada hari berlangsungnya bengkel tersebut.
“Selepas solat Isyak, tiba-tiba Allah SWT ingatkan semula idea yang dahulunya pernah saya terfikir dan hanya angan-angan untuk menciptanya. Lantas saya melakarkan idea tersebut di atas kertas.
“Selepas tiga bulan, saya mendapat berita yang idea tersebut telah terpilih untuk dijadikan prototaip berserta dengan bantuan mentor selama tiga bulan dan alhamdulillah memang tidak disangka idea saya terpilih mendapat tempat pertama,” ujarnya.
Bagaimanapun tambahnya, SmartSolat masih dalam proses penelitian dan hanya prototaip untuk dipasarkan bagi kegunaan komersial.
Aplikasi pintar
Selain itu, turut dihasilkan pelbagai perisian yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar secara percuma yang menyediakan pelbagai panduan mengenai solat.
Ia termasuk untuk mengetahui waktu solat di seluruh kawasan, menetapkan arah kiblat, mencari surau atau masjid yang terdekat, malah mengalunkan azan secara automatik apabila tibanya waktu solat.
Sehubungan itu, umat Islam dapat menunaikan solat tanpa sebarang alasan walaupun berada di kawasan yang baharu dikunjungi dengan hanya merujuk kepada telefon pintar yang sentiasa dibawa ke mana-mana.
Syamimi berkata, dengan adanya teknologi umat Islam dapat melakukan kewajipan dengan mudah dan yakin tanpa bergantung kepada orang lain.
“Pelbagai inovasi solat yang dihasilkan adalah sangat berguna dan perlu dikembangkan lagi. Ini kerana selain memudahkan umat Islam melaksanakan solat, pembelajaran solat juga bukan hanya dilakukan ketika menyertai kursus atau bengkel solat yang disertai, malah turut boleh dipraktikkan sendiri di rumah,” ujarnya.
Kemudahan solat OKU
Tidak tertumpu kepada golongan berkemampuan, inovasi solat turut dicipta bagi kemudahan golongan kurang upaya (OKU) untuk menunaikan solat sebaris dengan jemaah lain.
Ia sebagaimana hasil rekaan Pertubuhan Prihatin Orang Kurang Upaya 1 Malaysia (Prihatin) yang menghasilkan Kasoot Wheelchair bagi membolehkan OKU berkerusi roda memasuki masjid.
Presidennya, Noorulhuda Mohamed Asli berkata, Kasoot Wheelchair merupakan pelapik kerusi roda yang diperbuat daripada kain untuk dipasang di roda kerusi roda ketika ingin memasuki ke dalam masjid atau tempat yang bersih.
“Direka untuk kerusi roda beroda bersaiz 24 inci, pengguna hanya perlu menyarungkan Kasoot Wheelchair ini di roda dengan mudah dan pantas tanpa perlu turun daripada kerusi roda untuk memasuki ke tempat yang bersih terutamanya untuk kegunaan solat di masjid.
“Dengan adanya pelapik roda ini, OKU yang berkerusi roda dapat menunaikan solat secara berjemaah sebaris dengan jemaah normal yang lain tanpa perlu bimbang kebersihan pada roda kerusi roda yang juga digunakan melalui kawasan terbuka di jalanan,” katanya. -Utusan