Insiden MyVi: Sejauh Mana Kita Bersabar Dalam Hadapi Musibah, Ujian

Yana FMC
INSIDEN kemalangan kira-kira pukul 1.05 pagi 2 Mei lalu yang mengorbankan Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35; isteri, Nova Safitri Azhari, 27; dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa berusia tujuh bulan memang menyayat hati.

Kemalangan setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki tiga beranak itu berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik di Lebuhraya Duke juga menyebabkan dua lagi anak pasangan tersebut, Nur Firuza Amira, 7 dan Nur Firuza Aqila, 4, menjadi yatim piatu sekelip mata.

Kalau ikut hati, memang kita marah dan geram kepada pemandu yang melanggar kenderaan mangsa. Lebih-le­bih lagi jika terbukti mereka berlumba semasa kejadian.

Namun, sebagai orang Islam, kita menerima ketentuan takdir Allah. Kita doakan roh kesemua mereka mendapat pengampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Sememangnya dalam hidup ini kita akan sentiasa diuji. Ujian itu antara lain bagi menentukan tahap keimanan dan kesabaran kita kepada Allah SWT. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda, kematian, buah-buahan yang tidak subur. Bergembiralah orang-orang yang sabar.” - (al-Baqarah: 155)
Dalam ayat di atas, Allah mengajar kita agar bersabar di atas segala musibah yang berlaku. Kesabaran kita akan terzahir dalam reaksi kita ketika mana musibah menimpa. Apakah perkataan pertama yang keluar daripada mulut kita?

Apakah reaksi tingkah laku kita atas musibah yang menimpa? Petanda kita sabar dengan ujian Allah ialah apabila perkataan yang pertama keluar daripada mulut kita ialah lafaz al-istirja’ iaitu:
“Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kami akan pulang kepada-Nya”. (rujuk al-Baqarah: 156)
Lafaz al-istirja’ yang kita sebutkan tatkala ujian melanda melambangkan kemurnian tauhid kita, di mana kita faham bahawa Allah adalah pemilik mutlak ke atas semua perkara di dunia ini. Sehinggakan kita jua sedar apa yang kita miliki pada hari ini bukanlah milik kita pada hakikatnya. Hal itu juga melambangkan persangkaan baik dengan apa yang­ Allah putuskan.

Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seseorang Muslim, apabila dia ditimpa musibah, lalu dia membaca apa yang Allah arahkan kepada­nya: “Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nya kita akan kembali, ya Allah berikan aku pahala untuk musibah yang menimpaku, dan tukarkanlah apa yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah pasti akan menukarkan yang lebih baik untuknya.” (Sahih Muslim).
Dalam masa yang sama, kita bersyukur kerana banyak pihak yang bukan sahaja prihatin malah tampil membantu dua beradik yatim piatu ini. Harapannya, bantuan itu bukan bermusim dan akan turut diperluaskan kepada kes yang seumpama dengannya.

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
“Nabi Muhammad SAW bersabda: Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini - sambil ba­ginda menunjuk dengan kedua-dua jarinya - jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya, sebagai isyarat rapatnya mereka dan duduk bersama-sama nabi di dalam syurga).” (Riwayat Bukhari)
Satu lagi insiden yang memerlukan bantuan masyarakat adalah lima beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka terbunuh dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras di Jalan Loke Yew pada 23 Mei 2014.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Jef­ri Mohd. Zain, 46, dan isterinya, Noorsalawati Ibrahim, 40, yang menaiki motosikal mati di tempat kejadian setelah digilis sebuah lori yang membawa muatan pasir.

Pasangan itu meninggalkan lima anak - Muhd. Haikal, 17; Fatin Adlina, 15; Mohd Aidil, 11; Norsyamini, 5; dan Nor Auni Safia, 4.

Memanglah bantuan yang dihulurkan itu tidak dapat mengembalikan ibu bapa mereka. Namun, sekurang-kurangnya bebanan mereka terutama daripada segi kewa­ngan dapat diringankan. -Utusan