Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pekerja
kilang di balai polis, September tahun lalu.
Inspektor Mohd Hairul Zaidi Zainal, 33, didakwa merogol remaja
berusia 19 tahun itu dengan menggunakan kedudukan dan kuasanya di bilik
pegawai penyiasat jenayah, tingkat tiga, Balai Polis Petaling,
Brickfields, di sini antara pukul 3 pagi hingga 7 pagi, 17 Sept lalu.
Mohd Hairul Zaidi didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping tidak menawarkan sebarang jaminan
kerana kesalahan itu adalah serius selain faktor kemungkinan tertuduh
akan mengganggu saksi dalam kes itu.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad
Sukri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh
sebelum ini tidak pernah gagal melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis
Daerah Brickfields, setiap dua kali seminggu, sejak lapan bulan lalu
walaupun dibebaskan tanpa jaminan cagaran polis.
“Selain itu anak guam saya sudah berkahwin dan perlu menanggung
isteri yang tidak bekerja, dua anak berusia dua tahun dan tiga bulan
serta menanggung ibu bapa, juga adik yang berada di tingkatan lima,”
katanya.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000
dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu
melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setiap dua minggu
sekali dan dilarang mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang warga Bangladesh mengaku
tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita tempatan awal
bulan ini.
Abdul Monnan, 32, didakwa merogol wanita berusia 43 tahun itu di
sebuah rumah tidak bernombor, di Jalan Abdullah, Bangsar, di sini antara
pukul 10.30 malam, 4 Mei hingga 2.30 pagi 5 Mei.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika
sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja
menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi yang
sama.
Abdul Monnan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda maksimum RM2,000
atau kedua duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam,
diikat jamin dan menetapkan 5 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA