ALOR SETAR - Hak asasi kemanusiaan tidak seharusnya hanya dimonopoli
dunia Barat kerana di dalam Islam, perkara mengenai hak asasi
kemanusiaan telah lama wujud, kata Menteri Besar, Kedah Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir.
Menurutnya, Islam adalah agama yang lengkap dengan adanya hubungan yang jelas di antara Islam dengan hak asasi kemanusiaan.
"Islam adalah agama yang memberi hak yang sama kepada semua manusia,
yang merentasi bangsa, warna kulit, taraf sosial dan darjat. Hak asasi
kemanusiaan dalam tradisi Islam memperjuangkan hak dan tanggungjawab,"
"...bukan sahaja kepada sesama Islam tetapi juga kepada orang bukan
Islam, alam sekitar, haiwan, tawanan perang dan lain-lain," katanya
ketika merasmikan Forum Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam di
Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Mukhriz berkata, di dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan
tentang betapa pentingnya hak asasi kemanusiaan itu ditegakkan seperti
tentang hak hidup dan keselamatan diri dalam Surah al-Maidah ayat 32 dan
Surah al-An'am ayat 151.
Begitu juga dengan hak beragama yang merupakan hak asasi kemanusiaan
yang paling asasi katanya, seperti diterangkan dalam Surah al-Baqarah
ayat 256, Surah Yunus ayat 99 dan Surah An-Nisa ayat 47.
Islam menurutnya juga memberikan hak berfikir secara bebas, merdeka
dalam memberikan pendapat serta hak memperoleh pendidikan sebagaimana
dinyatakan dalam Surah al-A'raf ayat 179, Surah An-Nisa ayat 148 dan
Surah At-Taubah ayat 122.
Beliau berkata, Deklarasi Hak Asasi Kemanusian Sejagat 1948 telah
digubal ketika negara-negara Asia dan Islam berada di bawah penjajahan
bangsa Eropah di mana meraka tidak mempunyai pengaruh terhadap
penggubalan deklarasi itu.
"Dokumen ini didasari fahaman Liberalisme Sekular, di mana sebarang
rujukan kepada Tuhan dan ilmu wahyu ditolak," katanya dan menambah,
sebanyak 48 negara menandatangani deklarasi itu pada 10 Dis 1948.
Katanya, International Covenant of Civil Rights and Political Rights
1966 dan International Covenant of Economic, Social and Cultural Rights
1966 juga adalah tindak balas kepada kekejaman Perang Dunia Pertama dan
Kedua.
"Asas utamanya ialah semangat Revolusi Perancis," kata Mukhriz.
Menteri Besar Kedah itu menasihatkan masyarakat supaya tidak menelan
bulat-bulat berita yang dijana oleh media-media asing tentang hak asasi
kemanusiaan kerana mereka mempunyai agenda masing-masing.
Beliau memberi contoh konflik Israel-Palestin di mana media
antarabangsa memaparkan Israel sebagai pihak yang teraniaya dan
bertindak mempertahankan diri daripada keganasan Palestin.
Katanya, terdapat kuasa monopoli daripada segi maklumat yang disebarkan
ke seluruh dunia yang membentuk pemikiran dan pendirian mengikut agenda
serta nilai-nilai tertentu.
"Dunia disogok dengan maklumat-maklumat beragenda dan terancang. Kuasa
mutlak media ini dapat menjadikan yang 'bersalah tidak bersalah' dan
yang hitam menjadi putih," menurutnya. - Bernama