PASIR SALAK – Pembinaan Balai Gambang, sejenis rakit besar atau bot
berhias, bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai
Sultan Perak XXXV masih mengekalkan reka bentuk dan hiasan tradisi
Melayu Perak seperti yang pernah digunakan semasa pertabalan Sultan
Azlah Shah.
Sultan Nazrin Shah akan menggunakan Balai Gambang itu, yang dinamakan
‘Cempaka Sari’, untuk menziarah lima makam Sultan Perak di sepanjang
Sungai Perak dari Pasir Salak ke Teluk Intan.
Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak
ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan
Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah
Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin
Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar
Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.
Sultan Nazrin akan turut menggunakan Balai Gambang pada 14 Mei untuk
menziarah serta mencelupkan kaki baginda di Beting Beras Basah yang
terletak di pesisir sungai di Bagan Datoh berhampiran muara Sungai
Perak.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad
berkata pihaknya bekerjasama dengan Institut Teknologi Kejuruteraan
Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) di Lumut untuk
membina Balai Gambang.
“Sejumlah 35 kakitangan JKR serta 13 orang yang terdiri daripada
tenaga pakar dan pelajar UniKL terlibat dengan pembinaan tersebut,”
katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata meskipun reka bentuknya sama, saiz Balai Gambang kali
ini lebih kecil berbanding yang terdahulu kerana Sultan Nazrin Shah
tidak akan bersemayam atau beradu di atas Balai Gambang berkenaan.
Balai Gambang kali ini, yang berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1
meter lebar dengan berat 4.5 tan serta mampu membawa 10 hingga 15
penumpang pada satu-satu masa, akan digerakkan oleh tiga buah enjin
sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 sentimeter padu (cc).
Safry Kamal berkata Balai Gambang itu akan dikendali dua jurumudi khas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
“Mereka merupakan anak beranak dan si bapa mempunyai pengalaman
mengemudikan Balai Gambang ketika istiadat pertabalan Almarhum Sultan
Azlan Shah,” katanya.
Beliau berkata segala aspek perlu diberi perhatian termasuk kedalaman
Sungai Perak yang telah pun berubah berbanding 30 tahun lepas.
“JPS dan Tenaga Nasional Berhad dipertanggungjawabkan untuk mengawal paras mengikut pelepasan air dari Empangan Chenderoh.
Ini bagi memastikan kedalaman air mencukupi supaya Balai Gambang itu dapat belayar dengan sempurna,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik UniKL Zaimi Zainal Mukhtar
berkata pihaknya terlibat dalam menentukan reka bentuk, simulasi bagi
kestabilan serta pembinaan badan dan dek Balai Gambang berkenaan.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan Balai Gambang dilakukan di Litar Datuk Sagor di sini, yang bermula sejak Januari lepas.
“Bahan yang digunakan bagi pembinaan Balai Gambang ialah gentian kaca
yang lebih ringan dan kuat dan kami juga menggunakan kayu dan besi
untuk struktur yang lebih kukuh,” katanya.
Balai Gambang dikatakan diperkenal oleh Sultan Iskandar Dzulkarnain,
Sultan Perak ke-15, semasa baginda berpindah tempat bersemayam dari
Pulau Cempaka Sari ke Pulau Indera Sakti di daerah Perak Tengah pada
tahun 1754.
Bagaimanapun, hanya pada tahun 1770 ia mula diguna sebagai alat
kelengkapan khusus untuk istiadat pertabalan iaitu semasa pertabalan
Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda.
Sejak mula diperkenal sehingga tahun 1948, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading.
Bagaimanapun, semasa pertabalan Sultan Idris Shah pada tahun 1963,
kayu dan besi diguna bagi menggantikan buluh sekali gus menjadikan Balai
Gambang sebuah binaan yang lebih teguh dan kemas. – BERNAMA