Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali |
KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali meminta
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
menetapkan dengan secepat mungkin tarikh untuk kedua-dua pihak
menyelesaikan pertikaian berhubung penstrukturan semula industri
perkhidmatan bekalan air di Selangor.
Mohamed Azmin berkata pertikaian itu termasuk mengenai tuntutan
kerajaan persekutuan untuk mengambil alih aset Selangor di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur.
“Saya hanya berpegang kepada perjanjian yang ditandatangani. Kalau
ada pandangan berbeza, elok kita bincang,” katanya kepada pemberita
selepas menyerahkan cek untuk membiayai program ‘Hijrah Selangor’ di
sini hari ini.
Menurut laporan media, tarikh untuk memuktamadkan cadangan
pengambilalihan konsesi air daripada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan negeri tertangguh
sebanyak tiga kali.
Pada mulanya, urusan itu dijadual dimuktamadkan pad 9 Feb, kemudian
ditunda kepada 9 Mac dan seterusnya kepada 9 April. Tarikh terbaru ialah
esok (11 Mei).
Ditanya sama ada Kerajaan Selangor akan menggunakan saluran undang
undang untuk menyelesaikan kebuntuan berhubung perjanjian itu, Mohamed
Azmin berkata beliau tidak nampak keperluan berbuat demikian
memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetju dengan terma
dan syarat tertentu berkaitan isu itu. – BERNAMA