PUTRAJAYA melahirkan rasa kecewa dengan sikap negara jiran yang
menganggap Malaysia tidak berperikemanusiaan susulan tidak menerima
kehadiran mangsa sindiket pemerdagangan orang yang terdiri daripada
etnik Rohingya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim, ada negara jiran yang sebenarnya tegar menunda bot dinaiki
kesemua mangsa masuk ke perairan negara ini.
Ujar beliau dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini,
“Negara-negara lain bercakap Malaysia tidak berperikemanusiaan tetapi
seorangpun mereka tidak ambil orang-orang Myanmar ini.
“Melihat orang-orang yang bermasalah, sudah tentulah hati kita cukup
berat untuk menolak mereka. Kita tidak tolak, kita bagi segala kemudahan
tetapi kita berkecil hati dengan negara jiran yang sanggup tunda bot
bawa dekat sempadan kita.”
Minggu lalu, seramai 1,158 mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang
terdiri daripada etnik Rohingya dan warga Bangladesh mendarat secara
haram di Langkawi.
Ianya merupakan pendaratan terbesar yang direkodkan setakat ini. Ia
terjadi setelah Thailand memerangi sindiket berkenaan secara
besar-besaran.
Sementara itu, menurut laporan, hasil pemeriksaan agensi keselamatan
mendedahkan bahawa mangsa yang berada di atas kapal tersebut bukan
sahaja etnik Rohingya malah warga asing yang tidak diketahui asal usul.
“Kita lihat dalam bot itu lebih separuh etnik Rohingya, tetapi sebahagiannya orang Bangladesh dan tidak dikenali.
“Maksudnya, kemungkinan semasa operasi yang dibuat negara jiran itu,
dimasukkan semua orang yang mereka jumpa dalam bot datang ke sini,
termasuk mangsa penyeludupan orang.”
Selain itu Shahidan berkata, kerajaan akan memberikan bantuan dari
segi makanan, minuman, minyak dan memperbaiki kapal andai ia rosak.
Ketika ini, Malaysia sudahpun menampung 45,000 orang Rohingya dengan
kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelarian).
Sumber: Mynewshub.cc