PERMATANG PAUH – Usaha mencari penyelesaian kepada isu kad prabayar
harus menjurus kepada kepentingan rakyat dan negara secara
keseluruhannya, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata hasil
perbincangan dengan semua pihak berkenaan haruslah bersifat
‘menang-menang’ yang memanfaatkan semua pihak sebelum dibawa ke
mesyuarat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
“Kami akan cari jalan terbaik bagaimana mencari kaedah-kaedah dan
pilihan yang sesuai, dan akhirnya menguntungkan rakyat dan negara.
“Dan, saya mahukan pihak telco (syarikat telekomunikasi) juga beri
kerjasama serta memahami sentimen rakyat, kerana ini perkara yang tak
boleh saya kompromi,” katanya kepada pemberita di pusat media
Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata Kementerian Komunikasi dan
Multimedia akan segera mengadakan perbincangan yang komprehensif dengan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Komunikasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta syarikat-syarikat
telekomunikasi.
Ahmad Shabery berkata perbincangan dan kajian juga harus dibuat
dengan teliti kerana proses mencapai penyelesaian adalah agak kompleks,
dan ia perlu mengambil kira kesulitan yang dialami semua pihak.
“Sebagaimana kita tahu, ini bukan soal 60 sen (penambahan daripada
harga asal kad prabayar) atau enam peratus (nilai cukai barang dan
perkhidmatan (GST) yang dikenakan), kerana ia melibatkan banyak pihak.
“Kad prabayar atau tambah nilai prabayar merupakan suatu ekonomi
tersendiri…ia melibatkan akar umbi yang banyak dalam sistem kita. Ia
seperti wang dan syarikat telco (telekomunikasi) bukannya menjual secara
langsung tetapi ia mempunyai lapisan tertentu yang semuanya mesti
diambil kira dalam soal ekonomi prabayar,” jelas beliau.
Sebagai contoh, katanya, kebanyakan ejen penjual kad prabayar di
peringkat bawahan sudah membeli baucar dengan nilai terdahulu dan agak
sukar untuk mereka menjual kepada pelanggan sekiranya nilainya berubah
mendadak.
“Ini antara perkara yang perlu kita teliti kerana ia tidak boleh diubah dalam masa sehari dua,” katanya.
Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul akibat kenyataan berbeza
daripada agensi-agensi terlibat, Ahmad Shabery berkata semua pihak
mengeluarkan kenyataan berdasarkan dasar dan profesionalisme dalam tugas
masing-masing.
“SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebenarnya
memberitahu secara teknikal bahawa proses untuk mengubah sistem ini
tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat…itu sahaja,” kata
beliau.
Sebelum ini, media melaporkan Kastam mengarahkan syarikat
telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada
harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.
Bagaimanapun, arahan iu yang sepatutnya berkuat kuasa semalam,
ditangguhkan selepas Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie
menyatakan pada Rabu bahawa isian semula telefon prabayar akan terus
dijual dengan kadar dikenakan GST.
Penyelarasan harga kepada kadar pra-GST itu agak mustahil untuk
dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk
membuat konfigurasi semula kepada sistem, katanya.
Ditanya mengenai pilihan yang akan diambil kira, Ahmad Shabery
berkata antara cadangan itu ialah kemungkinan meminta syarikat
telekomunikasi menyerap cukai 6 peratus itu.
Namun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji peruntukan
undang-undang sedia ada bagi memastikan perkara itu dapat dilakukan.
Selain itu, katanya, kementerian akan mencadangkan kepada kesemua
syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan keuntungan yang diperoleh
kepada golongan sasar sekiranya mahu harga selepas GST dikekalkan.
“Mungkin mereka dapat memikirkan pakej yang lebih baik lagi untuk golongan yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA