ALOR SETAR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi khutbah
Jumaat lalu menyeru umat Islam khususnya di Malaysia memboikot
rancangan realiti televisyen yang melalaikan dan tidak mematuhi syariat
agama Islam.
Melalui khutbah yang bertajuk Jihad Menentang Kebatilan itu, JAWI
menyifatkan program realiti TV sebagai salah satu bentuk gejala
hedonisme yang dicipta bagi merosakkan pemikiran umat Islam terutamanya
anak-anak remaja.
“Rancangan realiti membawa anasir negatif seperti membuat lawak
lucah, pendedahan aurat, lelaki berpakaian wanita dan sebagainya.
“Malah, ada rancangan tersebut berbentuk fitnah sesama artis,
mengumpat atau mengeji, namimah atau melaga-lagakan sesama artis,
membuka aib artis dan sebagainya.
“Mari kita boikot rancangan tersebut,” ujar kandungan khutbah tersebut.
Pada masa yang sama, JAWI mengesa semua ibu bapa agar mengawal
anak-anak muda yang meminati hiburan melalaikan dan memupuk anak-anak
agar meminati hiburan yang berteraskan syariat Islam.- Kedahnews.com