ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Kedah mengambil inisiatif meningkatkan
pelbagai langkah pengawalan untuk mencegah demam denggi bagi mengekang
pertambahan kes yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan.
Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, satu kematian terbaharu
akibat demam denggi dilaporkan melibatkan seorang remaja perempuan
berumur 13 tahun dari Taman Desa Aman, Bedong, Kuala Muda pada 2 Mei
lalu.
“Mangsa pada awalnya mendapat rawatan di Bahagian Kecemasan, Hospital
Sultan Abdul Halim pada 27 April dan terus dimasukkan ke wad. Namun pada
1 Mei dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemudiannya disahkan
meninggal dunia disebabkan denggi kira-kira jam 7 malam pada 2 Mei,”
katanya.
Beliau berkata, itu menjadikan jumlah korban demam denggi di negeri ini
setakat 9 Mei seramai dua orang dengan kematian pertama pada 1 April
lalu.
“Sejak awal tahun ini sehingga Mei, sebanyak 328 kes demam denggi
dicatatkan menunjukkan peningkatan sebanyak 73 kes (28.6 peratus)
berbanding 255 kes pada tempoh sama tahun lalu.
“Sembilan daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan dengan
melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 135,523 premis dan
didapati sebanyak 2,358 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.
“Sebanyak 963 kompaun dengan nilai RM451,200 di bawah Akta Pemusnahan
Serangga Pembawa Penyakit 1975. Manakala sebanyak 146 Notis Seksyen 8
dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat
berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.
“Kita juga sentiasa optimis dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan
Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 secara berkala dan
mengambil tindakan tegas ke atas premis yang didapati mempunyai tempat
pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Sumber: Sinar Harian