JAKIM Tarik Balik Sijil Halal Secret Recipe Sebab Terlalu Kotor

ALOR SETAR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan terpaksa bertindak menarik balik sijil pengesahan halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd berkuatkuasa pada 7 Mei lalu.

Tindakan tersebut diambil oleh JAKIM berpunca dari perlanggaran Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan kesalahan-kesalahan kebersihan dan GMP (Good Manufacturing Practice) yang dianggap serius.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, dalam satu kenyataan bagaimanapun  menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakan yang diambil JAKIM itu adalah kerana penggunaan bahan haram oleh pihak Secret Recipe.

“Penarikan sijil halal tersebut tidaklah menghalang syatikat berkenaan untuk memohon semula Sijil Halal setelah tindakan pembetulan telah dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.”


Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya telah memanggil syarikat berkenaan dan mereka berjanji untuk melakukan tindakan segera berhubung kesalahan yang dilakukan.

Meskipun begitu, pihak Secret Recipe juga dimaklumkan bahawa mereka masih memiliki peluang memohon sijil halal semula setelah mereka memperbetulkan kesalahan yang dibuat sebelum ini.

“JAKIM amat memandang serius perkara ini dan mengingatkan kepada setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia dari masa ke masa,” tegas beliau. -Kedahnews.com