Mayat mangsa ditinggalkan di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka. |
KUALA LUMPUR – Seorang janda beranak empat dilapor mati dibunuh teman
lelakinya di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baharu pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata mangsa
yang dikenali sebagai Nur Salina Nazir, 34, dilapor menjalankan
perniagaan dalam talian.
“Mayatnya ditemui dalam kereta miliknya dalam keadaan terlentang di
bahagian tempat duduk pemandu serta mempunyai empat kesan tikaman di
dada, rusuk kanan dan kiri serta lengan kiri,” katanya dalam satu
kenyataan.
Menurutnya susulan kejadian pukul 9 pagi itu, seorang guru agama di
sekolah itu diberkas di rumahnya di Taman Bukit Bujang, Kuala Kubu
Baharu dan suspek mengaku telah membunuh mangsa.
“Soal siasat mendapati suspek yang berusia 29 tahun membunuh mangsa
kerana mangsa sering mendesaknya untuk berkahwin dengannya,” katanya.
Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta masih bujang.
Pihak polis masih belum menemui pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, katanya. – BERNAMA