Jangan Biarkan Palestin Menangis Sendirian...

MEMANG agak menakutkan berkunjung ke Palestin, apa tidaknya, ditahan lebih sejam di kaunter imigresen Israel tanpa sebab munasabah ketika masuk, diarah memberhentikan penggambaran, peralatan ditahan, bersoal jawab dan diambil keterangan oleh polis Israel ketika di Masjidil Aqsa, melihat anggota penembak tepat Israel berlegar-legar di kebanyakan kawasan, melalui begitu banyak pos pemeriksaan serta ditahan lebih sejam sewaktu hendak keluar dari sempadan dan dibiarkan sendirian, semuanya dirasai sendiri hinggakan ada waktunya mengalirkan air mata kebimbangan.

Begitulah pengalaman yang saya lalui ketika berada lapan hari di bumi Palestin untuk melakukan penggambaran dokumentari Islam pada penghujung Mac lalu. 

Namun, jika diajukan soalan, mahukah saya kembali ke Palestin? Jawapannya sudah pasti mahu, waima diuji dengan pelbagai kekangan. 

Kenapa? Semuanya kerana saya ada tanggungjawab di bumi anbia ini. Malah, bagi saya semua umat Islam ada tanggungjawab di bumi Palestin ini.

Sepertimana kata pembantu pelancong rakyat Palestin, Hisham, 45, yang tabah lagi berani orangnya. 

“Apa yang dilakukan oleh Pasukan Keselamatan Israel kepada saya adalah perkara biasa. Secara rambang terutama pelancong Islam akan ditahan dan disoal siasat tanpa sebab munasabah. Tujuan mereka hanyalah satu, untuk menakut-nakutkan, lantas membuatkan kita serik untuk datang ke sini. Itulah strategi dan itulah propaganda Yahudi. Yang rugi Palestin dan Islam, manakala yang untungnya ialah Israel.”

Kata-kata Hisham ada kebenarannya. Tanpa sokongan umat Islam Palestin akan menderita dan mungkin lenyap buat selama-lamanya.

Pengalaman berharga berada di bumi Palestin bukan sahaja menginsafkan tetapi membuka mata saya tentang tanggungjawab untuk membantu Palestin, malah demi Islam. Caranya ialah dengan berkunjung ke Palestin tanpa rasa takut sedikit pun.

Jika kita tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mengundang tindakan jahat Yahudi Israel kenapa perlu takut!


Hakikatnya, pengalaman indah dan menarik jauh lebih banyak berbanding tiga atau empat situasi cemas dan menakutkan yang saya alami. Bumi Palestin bukan sahaja selamat tetapi indah dengan pelbagai pemandangan menarik yang tidak terdapat di negara sendiri.

Panorama melihat matahari terbenam dari bumbung Masjid Al-Aqsa sangat mengujakan, melawat kubur tokoh pejuang Palestin Yasser Arafat di Ramallah membangkitkan semangat untuk berjuang bersama Palestin, melawat Maqam Salman Al Farisi, anak muda dari Parsi yang berusaha untuk menemui Rasulullah SAW dan akhirnya memeluk Islam juga menginsafkan.

Bahkan, dibawa melawat ke ibu negara Israel di Tel Aviv yang bersih dan indah juga hebat. Apatah lagi dapat bersolat Jumaat dan solat fardu lima waktu di Masjid Al-Aqsa yang menjanjikan ganjaran pahala yang ketiga banyak selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta banyak lagi lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

Palestin juga mampu mendekatkan diri kita dengan para nabi dan rasul terdahulu menerusi adanya begitu banyak kubur dan makam yang boleh dilawati.

Terasa geram dan iri hati apabila melihat jumlah pelancong Islam jauh lebih kecil berbanding berjuta-juta pelancong bukan Islam terutama yang beragama Kristian. Mereka begitu teruja, gembira dan ghairah melawat makam dan tempat ibadat yang sebenarnya lebih rapat dan bermakna bagi kita umat Islam.

Persoalan yang menerjah dalam diri ini, sampai bilakah umat Islam perlu takut untuk berkunjung ke Palestin? Adakah sehingga Palestin lenyap dari muka bumi?

Ucapan terima kasih kepada Mohd. Muhairimi Mohd. Mukhtar dari Intifada Travel & Tours Sdn. Bhd. yang membawa dan menjaga kru dari sejak ketibaan hinggalah saat berangkat pulang ke tanah air.


Kata-kata beliau akan saya jadikan azimat sampai bila-bila. Katanya;

 “Datanglah ke Palestin, jangan takut dan bimbang, jangan biarkan saudara seIslam kita di Palestin berjuang mempertahankan Masjidil Aqsa bagi pihak kita, berdosa dan zalim kita. Yang penting datang dan tinggal di hotel milik orang Islam Palestin, makan-minum dan membeli-belah di kedai milik orang Islam Palestin. Ia sekali gus dapat meningkatkan ekonomi mereka yang dihalang sama sekali berimport dan bereksport. Jika tidak kita sesama Islam membantu mereka, siapa lagi akan membantu?”

Saya mengagumi keberanian dan usaha Mohd. Muhairimi yang sudah memasuki Palestin lebih 80 kali, sekali gus menjadi bukti bahawa Palestin selamat untuk dilawati. Segeralah melawat Palestin dan jangan sesekali terpedaya oleh propaganda Zionis Yahudi.

Sumber: Utusan