Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang berita selepas melawat pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Tohoku, semalam. - Foto BERNAMA |
SENDAI – Amerika Syarikat dan Jepun telah menunjukkan kesediaan
mereka untuk membantu Malaysia dan ASEAN dalam menyelesaikan isu
pelarian Rohingya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia
akan membincangkan lebih lanjut mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.
Kepada soalan sama ada Amerika bersedia mengambil masuk etnik
Rohingya itu seperti yang dilakukanya terhadap pelarian Vienam dari 1970
an-2001, Najib berkata mereka telah menyatakan akan menimbangkan
langkah sedemikian.
“Pelarian Rohingya ialah suatu perkara serius. Walaupun kita memang
mahu menanganinya melalui penyelesaian ASEAN, keupayaan kita terhad dan
kita memerlukan bantuan antarabangsa,” katanya selepas mengadakan dialog
dengan para pelajar di Tohoku University di sini.
Bot pertama dari Vietnam mendarat di pantai timur Malaysia pada Mei
1975, dan lebih daripada 255,000 orang diberikan perlindungan sementara
di Malaysia, sebelum kebanyakan mereka ditempatkan di negara-negara
barat dan kem terakhir ditutup pada 2001.
Buat masa ini Kedah menghadapi kebanjiran pendatang tanpa izin
Rohingya dan warga Bangladesh apabila 1,158 orang daripada mereka
mendarat di Langkawi pada 11 Mei lepas. – BERNAMA