Jerlun Dilanda Ribut, Rumah Ibu Tunggal Rosak Teruk

Bahagian atas rumah Raziah musnah akibat dilanda ribut dalam kejadian petang, kelmarin di Kampung Pida Dua Ayer Hitam.
JERLUN - Seorang ibu tunggal di Kampung Pida Dua, Ayer Hitam, di sini, mohon bantuan segera berikutan rumah yang didiami bersama tiga anaknya rosak teruk akibat dilanda ribut kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Cahaya Atan, 49, atau lebih dikenali sebagai Raziah berkata, ketika kejadian itu, dia berada di rumah bersama anak-anaknya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun.

Katanya, semasa kejadian hujan lebat dan angin kuat selama hampir satu jam hingga menyebabkan bumbung dan struktur rumah bahagian atas rosak.

"Berikutan hujan lebat, saya ke tingkat atas rumah separuh kayu itu untuk tadah air hujan kerana ada bumbung bocor. Ketika hendak turun, saya terkejut lihat bumbung rumah diterbangkan angin dan tanpa membuang masa saya segera bawa anak-anak keluar dari rumah.

“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak cedera dalam kejadian tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Raziah yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah berkata, kejadian itu kali kedua berlaku.

Menurutnya, kejadian kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini hanya melibatkan bumbung bahagian dapur.

“Kejadian sebelum ini semasa arwah suami masih ada, jadi dia yang baiki rumah selepas dilanda bencana itu, namun kini suami sudah tiada dan tiada sesiapa yang boleh baiki rumah ini," katanya.

Raziah berkata, dia berharap mana-mana pihak dapat membantunya untuk membaik pulih rumahnya.

“Saya tak mampu untuk baiki rumah berikutan pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk keperluan harian,” katanya yang menumpang di rumah adiknya buat sementara waktu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pida 2, Ayub Ahmad berkata, beliau akan cuba membantu keluarga itu untuk mendapat bantuan daripada pihak berkenaan.

“Saya berharap sumbangan segera dapat disalurkan oleh agensi kerajaan dan melalui wakil rakyat untuk membantu keluarga ini,” katanya. - Sinar Harian