Jom Kayuh Gerek Dengan Mukhriz Ronda Pantai Merdeka Sabtu Ini

Jom kayuh gerek dengan Mukhriz Mahathir ronda Pantai Merdeka..!
ALOR SETAR - Ekoran trend terbaru anak muda Kedah yang kian tertarik dengan cabaran aktiviti lasak, sebuah program, Kedah Aman Makmur (KAM) "MTB Endurance Challenge" 2015   bakal dianjurkan selama dua hari yang bakal menguji peminat-peminat aktiviti berbasikal lasak.

Dianjurkan oleh Gerakan Belia 4B kawasan Merbok, program berkenaan berkemungkinan bakal dijadikan acara tahunan dan dijangka mampu menarik minat penyertaan dari para peserta di peringkat antarabangsa untuk memeriahkan kejohanan berkenaan.

Berpotensi menjadi produk pelancongan terbaik di negeri jelapang padi itu, Pengerusi kejohanan berkenaan, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, program itu bakal mencabar ketahanan para peserta di dua lokasi mencabar.

Menurutnya, peringkat pertama melibatkan kayuhan sesi pertama, "SEDIM Challenge" yang bakal berlangsung pada 12 Jun ini dan kayuhan sesi kedua pula, "JERAI HILL Challenge", akan diadakan pada keesokan harinya, 13 Jun 2015.

"Pihak penganjur sedang dalam rangka untuk menjadikan acara ini sebagai sebuah acara tahunan dan akan melakukan penambahbaikan untuk menjadikan ia sebuah acara berprestij di peringkat antarabangsa dengan harapan lebih ramai peserta akan menyertai program ini," katanya.

Kayuhan Menteri Besar Kedah...
Beliau yakin dengan usaha gigih dan sambutan hangat kepada program berkenaan, ia bakal menarik minat para peserta luar negara untuk menyertai kejohanan tersebut, sekaligus menjadikan ia sebagai salah sebuah kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.


Bagi sesi "memanaskan badan", pihak penganjur menjemput seluruh anak muda Kedah untuk menyertai KAM "Bicycle Fun Ride" 2015, untuk mengayuh basikal bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Difahamkan oleh penganjur, Menteri Besar Kedah itu telah mengesahkan dirinya sebagai salah seorang peserta bagi program yang bakal menyaksikan kayuhan sejauh 53 kilometer di sekitar Pantai Merdeka pada hari Sabtu, 23 Mei ini.

Bakal mengayuh sejauh 53 kilometer bersama Mukhriz yang menjadi ikon terkini di negeri Jelapang Padi itu, para peserta turut berpeluang untuk membawa pulang barangan dan cenderahati menarik dalam acara cabutan bertuah di program berkenaan.


"Selain menyihatkan badan, aktiviti berbasikal ini saya lihat sebagai wadah dalam membantu mempromosikan produk-produk perlancongan domestik yang sebenarnya sangat menarik.

"Ia sangat berpotensi untuk menarik bukan sahaja pelancong dari dalam negara malah pelancong dari luar negara dalam menjadikan produk perlancongan tempatan sebagai pilihan utama dalam merancang percutian bersama keluarga.

"Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pendapatan (“tourism money”) negeri Kedah itu sendiri khususnya malah pendapatan negara secara amnya," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.


Justeru itu, beliau menjemput seramai mungkin penyertaan dari seluruh negara khususnya dari negeri Kedah dan mereka yang berminat untuk menyertai program yang pernah dianjurkan di sekitar Tasik Pedu sebelum ini.

Selain itu, pihak penganjur turut akan menyediakan jamuan makan tengahari berkonsepkan "Kenduri Rakyat" diprogram riadah tersebut.

Bagi mereka yang teruja untuk berkayuh bersama Mukhriz, borang penyertaan boleh diperoleh di Pejabat Sekretariat di alamat No. 184, Tingkat 2, Jalan Shahab 5, Shahab Perdana, 05350 AlorSetar (Tel/Fax : 04 – 732 9541).

Selain itu, mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan juga boleh mendapatkan borang berkenaan menerusi Facebook Event Page: https://www.facebook.com/kedahfunride?fref=tsatauFacebook, Fan Page: Kedah Aman Makmur “Bicycle Fun Ride”.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Cik Miera di talian 019 – 493 3975, Fauziah di talian 010 – 512 8280 atau Muhaimin di talian 011 – 1910 0172.

Tarikh akhir pendaftaran bagi penyertaan KAM “Bicycle Fun Ride” 2015 ialah pada hari penganjuran program tersebut pada jam 7.30 pagi,  Sabtu, 23 Mei ini. -Kedahnews.com