Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi |
PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengkaji keberkesanan cadangan
mewajibkan pemilik kenderaan menggunakan tempat duduk khas untuk bayi
dan kanak-kanak.
Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab
Aziz Kaprawi susulan saranan Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas)
sebagai langkah keselamatan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang
juga penumpang kenderaan berikutan tragedi yang mengorbankan tiga nyawa
membabitkan Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta anak
perempuan mereka yang berusia tujuh bulan Nur Annisa Firuza akibat
tercampak dari kenderaan tersebut.
“Candangan tersebut baik dan akan diambil kira bagi menjaga keselamatan anak kecil dalam sesebuah kenderaan.
“Kita akan minta Unit Kejuruteraan JPJ mengkaji dan melihat
kesesuaian kerusi bayi tersebut untuk diletakkan di tempat selamat dalam
kenderaan,” katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Bagaimanapun, tambah Ab. Aziz, perkara itu perlu diperhalusi termasuk
kesesuaiannya seiirng pembangunan kenderaan yang seharusnya mewujudkan
tempat khas untuk memastikan kerusi bayi berada dalam keadaan selamat.
“Ia perlu selari dengan pembangunan kereta juga, sesebuah kereta perlu ada tempat ikat kerusi bayi agar ia selamat.
“Tidak guna jika hanya meletakkan kerusi bayi tetapi tidak diikat dan boleh tercampak apabila berlaku kemalangan,” ujarnya.
Pada Isnin, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas)
Datuk Amarjit Singh Gill berkata adalah penting supaya langkah itu
diwajibkan kerana ia mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang duduk di
dalam sesebuah kenderaan.
Amarjit berkata, beribu kenderaan dipandu setiap hari dan kanak-kanak
daripada bayi sehingga umur lima tahun yang duduk di tempat duduk
belakang berhadapan risiko tercampak keluar kerana mereka duduk tanpa
memakai tali pinggang keledar.
Dalam kemalangan pada Sabtu lalu, Fairuz, isterinya dan anak bongsu
mereka tercampak keluar kenderaan selepas dirempuh Myvi yang dikatakan
sedang berlumba.
Fairuz terkorban di tempat kejadian, manakala Nova Safitri dan Nur Firuza meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Semasa kemalangan, ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Putrajaya. – The Star