KUALA LUMPUR – Polis berazam untuk menghentikan aktiviti lumba haram,
manakala Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap
pelumba haram.
Langkah tersebut diambil berikutan kejadian beberapa buah kereta
Perodua Myvi yang didakwa sedang berlumba di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang
(DUKE) merempuh sebuah kenderaan lain jenis Pajero Sport.
Pasangan suami isteri dan bayi berusia tujuh bulan yang berada dalam
Pajero tersebut terkorban dalam kemalangan itu yang berlaku pada Sabtu,
yang turut menimbulkan kemarahan orang ramai.
“Kita tidak mahu pelumba haram mengorbankan lebih banyak nyawa yang
tidak bersalah,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz
Kaprawi, Isnin.
Katanya, beliau akan memastikan JPJ tegas dalam menguatkuasakan
undang-undang lalu lintas dan meningkatkan operasinya terhadap aktiviti
lumba haram, terutamanya pada hujung minggu.
“JPJ akan menumpukan usahanya terhadap kawasan yang terkenal dengan
lumba haram,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga tiga
mangsa yang terbunuh.
Beliau berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) juga telah diarahkan untuk membantu polis dalam siasatan.
“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah untuk mengetahui punca
kemalangan kerana tiada siapa yang tampil mengaku bertanggungjawab.
“Kami akan mendakwa mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan
itu,” kata Abdul Aziz, sambil menambah mereka juga sedang memasang
lebih banyak CCTV di sepanjang lebuh raya.
Menurut saksi, suspek sedang berlumba dengan empat buah kereta Myvi
lain sebelum berlakunya kemalangan itu, walaupun beberapa wakil dari
kelab kereta yang disertai suspek menafikan dakwaan itu.
Abdul Aziz berkata kewujudan kelab kereta tidak menyalahi undang-undang malah ada yang sebenarnya membantu pihak berkuasa.
“Tetapi banyak mengubah suai kenderaan dan berlumba di jalan raya
adalah tidak sah,” katanya, sambil menggesa pengguna jalan raya mematuhi
undang-undang lalu lintas.
Beliau berkata Yayasan Pewaris Batu juga telah menyediakan akaun bank
untuk menyalurkan dana kepada dua kanak-kanak perempuan yang menjadi
yatim piatu akibat kemalangan itu, Nur Amira Firuza dan Nur Firuza
Akila.
“Dana akan dimasukkan di dalam akaun ini untuk memastikan dua
kanak-kanak perempuan itu mendapatkan bantuan setiap bulan sehingga
mereka mencapai usia dewasa,” katanya.
Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata polis semakin hampir untuk menyelesaikan kes itu.
“Kita percaya sudah tahu mendapat tahu punca kemalangan dan kita akan dedahkannya pada masa akan datang.
“Tidak kira siapa yang bersalah, siasatan polis akan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata polis melihat aktivit lumba haram sebagai aktiviti
yang serius dan akan berusaha sedaya upaya untuk menghentikannya.
“Kami menyedari bahawa kelab kereta mengadakan perhimpunan dari
semasa ke semasa,” kata beliau sambil menambah walaupun pertemuan itu
tidak menyalahi undang-undang, mereka sentiasa perlu mematuhi
undang-undang lalu lintas.
Beliau berkata tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada
undang-undang dan pertemuan sesama ahli kelab kereta perlu sentiasa
diakhiri dengan cara teratur untuk memastikan keselamatan pengguna jalan
raya lain di jalan raya.
“Nasihat saya adalah mudah: hanya patuh undang-undang dan menjadi pemandu sopan,” katanya. – mStar