Jururawat-jururawat memberikan penghormatan terakhir kepada rakan setugas mereka |
Seorang jururawat yang koma selama 42
tahun setelah diperkosa dengan ganas oleh seorang pekerja lelaki sebuah
hospital terkenal di India akhirnya meninggal dunia pada awal Isnin.
Aruna Shanbaug mengalami insiden serangan seksual secara ‘brutal’
ketika dia sedang bekerja keseorangan di Hospital King Edward Memorial
di Bombay (kini Mumbai) pada 1973 lalu, lapor media tempatan.
Waktu kejadian itu, mangsa yang baharu berusia 24 tahun tengah
menggantikan pakaian ketika Sohanlal Bharta Walmiki, seorang petugas am
hospital, tiba-tiba datang menyerang dan merogol jururawat tersebut.
Penyerang sadis itu menggunakan rantai anjing untuk mencekik leher
Aruna sehingga memutuskan aliran darah ke kepala mangsa, sekali gus
merosakan otak dan mengakibatkan mangsa terus koma.
Sohanlal yang berjaya ditangkap polis, hanya dihukum penjara selama
tujuh tahun atas kesalahan rogol dan rompak, manakala Aruna menghabiskan
sisa hidupnya dalam keadaan lumpuh dan koma di hospital.
Mangsa bagaimanapun tetap lagi hidup kerana diberi makanan melalui
saluran hidungnya, tetapi tahap kesihatannya mulai menurun sejak minggu
lalu setelah dia disahkan menderita penyakit pneumonia.
“Aruna meninggal dunia dalam usia 68 tahun pada 18 Mei pukul 8.30
pagi. Dia sempat masuk ke unit rawatan intensif dan mendapatkan bantuan
menerusi saluran pernafasan,” ujar jurucakap hospital tempatan.
Kes Aruna kemudian menjadi salah satu dasar kempen beberapa badan hak asasi manusia di India untuk melegalkan kematian secara euthanasia khasnya terhadap pesakit yang memang tiada harapan pulih.
Salah seorang rakan Aruna, Pinki Virani yang juga wartawan sering
menulis soal penderitaan wanita itu, namun memberitahu
stesen antarabangsa BBC, sahabatnya kini telah pun ‘bebas’. – Agensi