"Kaaba Bar" Sedang Dibina Di New York? Ini Cerita Sebenarnya...

Premis yang dikatakan "Kaaba Bar"...
ALOR SETAR - Baru-baru ini tersebar kembali sekeping gambar yang pernah mencetus kontroversi di kalangan umat Islam seluruh dunia yang mendakwa sebuah premis minuman keras berkonsepkan Kaabah sedang dibina di New York.

Gambar yang pernah "viral" pada tahun lalu itu kembali tersebar di laman-laman sosial sehingga mencetus rasa tidak puas hati dan marah umat Islam yang mudah percaya sesuatu laporan tanpa usul periksa.

Justeru itu, bagi menghilangkan keresahan tersebut, Kedahnews.com ingin memaklumkan bahawa gambar berkenaan sebenarnya adalah merupakan gambar premis syarikat IT terkemuka dunia, Apple, di Fifth Avenue, New York, Amerika Syarikat.

Ini "Kaaba Bar" yang dihebohkan?
Gambar berkenaan dirakam pihak tertentu ketika premis berkenaan sedang dalam pembinaan di mana ia dilitupi sejenis penutup kaca berwarna hitam sehingga menyerupai Kaabah.

Tidak dapat dipastikan siapa yang sebenarnya bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan bahawa premis itu merupakan "Kaaba Bar" sebagaimana yang tersebar di laman-laman sosial.


Namun kami yakin, mungkin ia sengaja disebarkan pihak-pihak tertentu untuk mencetus provokasi terhadap umat Islam supaya cepat "melompat", melatah dan melenting, sambil mereka tertawa memerhatikan gelagat kita yang mudah percaya pada dakyah palsu.

Begitulah mudahnya kita diperdaya di akhir zaman ini dengan permainan yang berbaur syubhah dan semoga pencerahan ini dapat membuka minda kita semua agar tidak mudah lagi tertipu oleh pihak-pihak berkenaan. Wallahu'alam. - Kedahnews.com