MUAR – Kabinet bayangan yang diumumkan pakatan pembangkang semalam
bukan menggambarkan kerjasama sebenar mereka, malah pembangkang
sebenarnya tidak mampu bersatu kerana masing-masing mempunyai perbezaan
pendirian yang ketara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata
meskipun pakatan pembangkang pernah mencadangkan perkara yang sama pada
pilihan raya yang lepas, namun mereka tidak mampu berbuat demikian
kerana tidak mencapai kesepakatan.
“Ia menggambarkan seolah-olah mereka (pembangkang) bersatu tetapi
mereka tak mampu bersatu, ada terdapat perbezaan yang ketara, luar
biasa. Mungkin rakyat akan persoalkan mampukah mereka membentuk kerajaan
yang begitu mantap untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
“(Ini) soal rakyat. Kita serah kepada rakyat untuk menilai,” kata
beliau kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup Pelan
Pembangunan Parlimen Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pembangkang
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mahu menghidupkan kembali kabinet
bayangan pembangkang bagi memperkuatkan sistem periksa dan imbang bagi
menjamin kesejahteraan rakyat.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pengumuman itu
mungkin disebabkan Pakatan Rakyat (PR) memikirkan mereka mempunyai
prospek untuk menubuhkan kerajaan pada masa depan.
“Apapun bagi kami dalam BN, isunya dalam pembangkang sama ada mereka
nak membariskan bakal pemimpin yang akan menjadi kerajaan masa hadapan,
mungkin rakyat nak tahu siapa nak jadi PM (Perdana Menteri) atau TPM
(Timbalan Perdana Menteri).
“Perkara ini (Kabinet bayangan) bukan perkara luar biasa, banyak
negara lain pun ada sistem begitu tetapi di Malaysia belum berlaku dan
kita kurang pasti sama ada itu boleh terjadi kerana dalam barisan
pembangkang pun kita tahu mereka tidak sepakat.
“Yang saya tahu pergaduhan PAS dengan DAP sampai kemuncak dan sampai
cabar mencabar di peringkat tertinggi jadi harapan Wan Azizah jadi
harapan sahaja pasal mereka tidak akan setuju siapa nak jadi apa. Apa
pun ini isu pembangkang bukan isu kerajaan. Terserah kepada mereka,”
kata beliau.
Mengenai kemungkinan pengumuman Kabinet bayangan itu menjadi strategi
pembangkang untuk menarik minat rakyat, Muhyiddin berkata terserah
kepada rakyat untuk menilai.
“Mereka tidak mampu membariskan (kabinet bayangan) pada masa lalu.
Masa pilihan raya lalu pun, hendak bereskan pemimpin pun tapi tidak
dibuat secara rasmi. Gambar siapa jadi apa tetapi tidak disahkan oleh
mereka. Soal yang sama akan berlaku kerana tiada muafakat dalam pimpinan
PR, mereka tidak mencapai persetujuan, maka sampai bila pun tak akan
terjadi,” kata beliau. – BERNAMA