Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir |
KUALA LUMPUR – Bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari
ini melancarkan parti politik baharu yang diterajuinya sendiri sebagai
presiden.
Abdul Kadir yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata
Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang berteraskan kepada idealisme
perdana menteri pertama negara ini, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj, terbuka kepada semua kaum.
“Antara misinya adalah “menghidupkan kembali sumpah janji dan
idealisme Bapa Malaysia (Tunku) dan pengasas-pengasas kemerdekaan agar
seluruh rakyat Malaysia hidup sebagai satu negara bangsa berteraskan
kesaksamaan, keadilan serta maju dan bahagia,” katanya semasa
melancarkan Ikatan di sini.
Pelancaran itu juga menyaksikan pengenalan bendera Ikatan berserta
bacaan ‘Amanat Merdeka’ oleh Naib Presiden parti, Tunku Muinuddin Putra
Nerang Putra yang juga cucu kepada Tunku Abdul Rahman Putra.
Abdul Kadir, yang menjadi menteri dari 1982 hingga persaraannya pada
2006, berkata Ikatan bukanlah parti yang menyokong kerajaan atau
pembangkang, sebaliknya adalah parti yang menyokong rakyat.
Beliau berkata pendirian parti adalah bekerjasama dengan pihak-pihak yang menyebelahi rakyat dan isu yang harus diperjuangkan.
Abdul Kadir berkata Ikatan tidak obses untuk bertanding dalam pilihan
raya umum akan datang sebaliknya fokus kepada menambah keanggotaan dan
pengukuhan parti.
Sesiapa yang mahu mendaftar sebagai anggota Ikatan boleh berbuat
demikian secara dalam talian melalui laman sesawang www.ikatan.org dan
mengikuti perkembangannya melalui Facebook dan Twitter.
Abdul Kadir berkata parti akan mengadakan satu majlis pertemuan pada
16 Sept depan bersempena sambutan Hari Malaysia, antaranya bagi
memperkenalkan pimpinan tertinggi pusat dan negeri parti itu. – BERNAMA