Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – “Kalau awak rasa awak susah, ramai lagi orang lain
yang susah, jangan mencuri sehingga susahkan diri sendiri dan keluarga,”
nasihat seorang Majistret kepada tertuduh kes curi hari ini.
Majistret Muhamad Faizal Ismail berkata demikian kepada Syamsul
Akmaar Roslie, 31, sebelum menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan
denda RM600 selepas dia mengaku bersalah mencuri empat paket Milo
bernilai RM127.96.
Dia membayar denda itu. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 5 Mei lepas.
Syamsul Akmaar, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan
kesalahan itu di Dotcom Department Grocery Home Shopping Tesco Extra
Cheras, di sini pada 8.56 pagi, 5 Mei lepas.
Dalam rayuannya, pemandu lori syarikat Tesco itu memberitahu mahkamah
dia menyesal kerana tidak berfikir panjang ketika mencuri Milo
tersebut.
“Milo itu untuk minum sendiri (kegunaan keluarga). Masa buat saya tak
fikir, sekarang saya rasa susah kerana telah ditahan polis dan perlu
menanggung isteri yang tidak bekerja serta anak,” katanya semasa rayuan
mengurangkan hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA