SOMBONG adalah penyakit yang sering menghinggapi kita semua, yang benih-benihnya terlalu kerap muncul tanpa kita sedari. Di tingkat terbawah, sombong adalah disebabkan oleh faktor kebendaan. Kita merasa lebih kaya, lebih rupawan dan lebih terhormat daripada orang lain.
Di tingkat kedua, sombong adalah disebabkan oleh faktor kecerdasan. Kita merasa lebih pintar, lebih cekap dan lebih berwawasan dibandingkan dengan orang lain.
Di tingkat ketiga, sombong adalah disebabkan oleh faktor kebaikan. Kita sering menganggap diri kita lebih bermoral, lebih pemurah dan lebih tulus dibandingkan dengan orang lain.
Yang menarik, semakin tinggi tingkat kesombongan, semakin sulit pula kita mengesannya. Sombong kerana kebendaan sangat mudah terlihat. Tetapi sombong kerana pengetahuan, apa lagi sombong kerana kebaikan, sukar dikesan kerana ia berbentuk benih-benih halus di dalam batin.
Sesungguhnya sifat sombong telah banyak mencelakakan makhluk Allah SWT. Ia bermula dari peristiwa pengusiran iblis dari syurga kerana kesombongannya untuk tidak sujud kepada Nabi Adam as, tatkala diperintahkan oleh Allah SWT ke atasnya.
Keengganan ini adalah disebabkan iblis beranggapan dia jauh lebih mulia daripada Adam, beralasan faktor kejadian daripada tanah sedangkan dirinya (iblis) daripada api yang pada andaiannya lebih hebat.
Justeru, sikap sombong iblis ini telah menyebabkan Allah SWT murka dan menghalaunya turun dari syurga. (rujuk al A’raf: 13)
Di samping itu, kerana kesombongan jugalah Allah SWT telah menenggelamkan Qarun berserta seluruh hartanya ke dalam perut bumi kerana keangkuhannya terhadap Allah SWT dan juga kepada sesama kaumnya.
Begitu juga Allah SWT telah menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di lautan kerana faktor kesombongan itu. Sikap sombong itu juga telah menyebabkan dia lupa diri dan dengan angkuh menyatakan dirinya lebih berhak untuk disembah dan diagungkan.
Kehancuran kaum Nabi Lut as juga kerana kesombongan mereka dengan menolak kebenaran yang disampaikan Lut agar mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka iaitu melakukan penyimpangan seksual sehingga tanpa disangka-sangka pada suatu pagi, Allah SWT membalikkan bumi yang mereka berlindung dan tiada satu pun di antara mereka yang dapat menyelamatkan diri daripada azab-Nya secara tiba-tiba.
Hakikatnya, masih banyak kisah yang dapat menyedarkan manusia daripada kesombongan dan keangkuhan, kalaulah mereka mahu mempergunakan hati nurani dan akalnya secara sihat.
Makhluk lemah
Manusia tidak boleh bersikap sombong kerana kita adalah makhluk yang lemah, seharusnya tidak seharusnya bermegah-megah dan sombong di hadapan Penguasa langit dan bumi.
Masih banyak manusia yang lupa hakikat dan jati dirinya sehingga membuat dia sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, merendahkan orang lain serta memandang dirinya sempurna segala-galanya.
Rasulullah SAW telah menjelaskan tentang bahayanya sifat sombong dan angkuh. Abdullah bin Mas’ud ra meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga siapa sahaja yang di dalam hatinya ada sedikit kesombongan. Kemudian seseorang berkata: (Ya Rasulullah). Sesungguhnya seseorang itu senang pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyenangi keindahan, (dan yang dimaksudkan dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan melecehkan orang lain." (riwayat Imam Muslim)
Sesungguhnya, kebaikan yang kita lakukan pasti akan kembali kepada kita dalam bentuk persahabatan, cinta kasih, makna hidup, mahupun kepuasan batin yang mendalam. Jadi, setiap perbuatan baik kepada pihak lain, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri.
Kalau begitu, mengapa perlu kita sombong?
Sumber: Utusan