SYDNEY – Polis Australia dilaporkan ‘bingung’
menyiasat misteri kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun
dipercayai akibat menerima terapi rawatan ‘tamparan’ oleh seorang pakar
perubatan terkenal dari China.
Mangsa dikenali sebagai Aidan Fenton dan menetap di Sydney,
dilaporkan menderita penyakit kencing manis, ditemui dalam keadaan tidak
sedar di sebuah hotel di pinggir ibu negeri New South Wales itu, awal
minggu ini.
Dia dan ibunya dipercayai datang menghadiri bengkel kerja mengenai
perubatan alternatif oleh pakar ternama, Xiao Hongchi dengan dikenakan
bayaran perkhidmatan sekitar A$1,800 (RM5,080) selama seminggu.
Beberapa akhbar tempatan melaporkan, polis bandar raya itu turut
menyiasat kemungkinan mangsa tersebut maut akibat sengaja berhenti
daripada menggunakan ubat insulin pada waktu yang ditetapkan oleh doktor
hospital.
Xiao Hongchi yang menyewa tempat di sebuah pusat kesihatan; sudah
menjalani proses siasatan pihak polis dan telah meninggalkan Australia,
seperti dilaporkan akhbar berpengaruh Sydney Morning Herald pada Sabtu.
Jurucakap polis menyatakan, petugas kesihatan sempat memberikan
rawatan pernafasan awal secara CPR kepada budak perempuan tersebut di
tempat kejadian, namun tidak berjaya dan kemudian mangsa meninggal
dunia.
Master Xiao, bekas pegawai kewangan; telah lama mempromosikan amalan paida lajin, sejenis terapi purba Cina yang melibatkan proses ‘tamparan dan peregangan’ untuk mengeluarkan racun dari tubuh badan manusia.
“Tamparan dan peregangan bekerjasama untuk membersihkan lingkaran
tekanan dalaman serta membantu tubuh untuk mengatasi penyakit,” jelasnya
kepada akhbar ternama India, The Hindu, pada bulan lalu.
Dia mendakwa, amalan yang diajarkan kepadanya oleh seorang pendeta
ajaran Tao selama ini telah berjaya ‘menyembuhkan’ beberapa penyakit
dalam bengkel anjurannya, seperti kencing manis dan darah tinggi.
Pernah berjaya di Wall Street lebih sedekad, Master Xiao telah mengembara ke seluruh dunia memperkenalkan teknik paida lajin menerusi ratusan bengkel seminar selain program stesen televisyen. – Agensi