Karnival Laksa Antarabangsa 2015 Langkawi Hujung Mei Ini

ALOR SETAR - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dilapor bakal menganjurkan Karnival Laksa Antarabangsa (LILAC) 2015 bermula pada 29 hingga 31 Mei 2015 bertempat di Laman Padi, Pulau Langkawi.

Karnival yang bakal memasuki tahun keempat penganjurannya ini merupakan salah satu inisiatif Lembaga Pembangunan Langkawi dalam merealisasikan hasrat Blueprint Pelancongan Langkawi untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai salah satu diantara sepuluh destinasi percutian pulau dan eko-pelancongan terkemuka di dunia.

Mengangkat tema “Sweet,Sour And Savoury” (Manis, Masam Dan Menyelerakan), LILAC meraikan kepelbagaian jenis laksa selain kelazatan kuih-muih tradisonal Malaysia.

LILAC merupakan satu-satunya acara gastronomi yang mengumpulkan pelbagai jenis laksa yang terdapat di Malaysia. Dengan 8 jenis laksa yang terdapat di negara kita seperti laksa nyonya, laksa Sarawak, laksam dan asam laksa.

LILAC turut berharap agar penganjurannya kali ini dapat menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara untuk lebih mengenali makanan tradisi yang tersenarai sebagai salah satu hidangan paling digemari di dunia oleh CNN ini.

Antara aktiviti menarik yang akan berlangsung di tapak karnival termasuklah jualan dan pameran, cabutan bertuah, pertandingan memasak laksa tradisional dan inovasi resipi, persembahan teh tarik, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan pentas dan banyak lagi.

10999098_1607763422797581_3019597320152232596_o

Acara karnival ini juga akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran empat personaliti televisyen dan chef selebriti iaitu Chef Farah Quinn, Chef Joe daripada Masterchef Malaysia dan Chef Sherson Lian, serta pelakon dan pelawak yang kini bergelar chef bertauliah, Farouk Hussain.

Nantikan juga kemunculan istimewa Upin dan Ipin serta Caliph Buskers, yang pasti dapat menceriakan acara yang bakal berlangsung selama tiga hari ini.

Selain itu, hadiah menarik dengan nilai keseluruhan sebanyak RM50,000 turut menanti para pengunjung. LILAC mensasarkan kunjungan sebanyak 30,000 orang, iaitu peningkatan sebanyak 7% berbanding tahun sebekumnya iaitu 28,000 orang.

LADA yakin pendapatan tahunan sektor pelancongan yang bernilai RM3.8 billion di Pulau Langkawi akan meningkat dengan penganjuran karnival laksa antarabangsa ini. -Kedahnews.com