ALOR SETAR - Sebanyak 81 kenderaan mewah bernilai RM2.7 juta berjaya dirampas di beberapa lokasi sepanjang tahun ini.
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya
berjaya mematahkan cubaan pihak tertentu menyeludup kenderaan mewah itu
dari negara jiran yang melibatkan cukai mencecah RM4.9 juta.
“Antara jenama kenderaan mewah itu adalah Mercedes Benz E240, Porshe
Boxter S, Jaguar, BMW X5, Lexus RX300, Mini Cooper, Volkswagen Beetle,
Nissan Fairlady dan Volvo XC90. Tangkapan ini adalah hasil daripada
maklumat awam dan inisiatif anggota Bahagian Penguatkuasaan negeri,”
katanya, pada sidang media, semalam.
Menurutnya, 81 kenderaan mewah itu disita Bahagian Penguatkuasaan di
stesen Alor Setar, Bukit Kayu Hitam, Langkawi, Sungai Petani dan Durian
Burung.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu diseludup masuk dan
dijual di pasaran tempatan kepada orang ramai pada harga lebih murah
berbanding kenderaan yang diimport secara sah,” katanya.
Abdul Latif turut mendedahkan, sebahagian aktiviti terbabit dikesan
mempromosikan kenderaan mewah itu melalui laman sosial seperti Facebook
dan halaman jual-beli atas talian.
Berikutan itu, seramai 15 individu ditahan untuk siasatan lanjut, di mana salah seorang merupakan penjawat awam berusia 50-an.
“Penjawat awam dari Kedah ini ditahan Mac lalu, dan mempunyai lapan kes
membabitkan aktiviti ini. Mereka yang lain berusia antara 30an-40an dan
memiliki pelbagai latar belakang pekerjaan, termasuk penjual kereta,”
katanya.
Menurutnya, bagaimana pun, hasil siasatan mendapati kesemua 15 individu
ini bukan dari sebuah sindiket dan bergerak secara sendirian.
“Kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan
palsu, namun kelicikan mereka tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa,”
katanya.
Abdul Latif berkata, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam
1967 kerana memiliki barang tidak berkastam. Jika disabit kesalahan,
pemilik kenderaan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda
dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan, atau dipenjara selama
tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak kami serius mahu membanteras kegiatan seperti ini kerana
melibatkan perolehan, pemilikan, penjualan dan pengedaran secara haram
kenderaan mewah di pasaran tempatan, yang sewenangnya berada di jalan
raya,” katanya.
Pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar mengelak daripada terjebak
dalam kegiatan terbabit, serta tidak membeli kenderaan mewah pada
tawaran harga murah yang tidak munasabah.
“Jika berdepan situasi seperti itu, kami harap mereka salurkan maklumat
kepada jabatan atau hubungi talian bebas tol Kastam, 1-800-88-8855.
Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan selain ganjaran wang
dipertimbangkan bagi maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian