Kebimbangan Kakitangan MAS Tamat Isnin Depan - Mueller


PETALING JAYA – Isnin depan, 20,000 kakitangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bakal menerima surat masing-masing.

Penantian untuk mengetahui sama ada mereka masih mempunyai pekerjaaan atau tidak akan berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baharu, Christoph Mueller menyatakan dengan jelas bahawa kebimbangan kakitangan syarikat penerbangan itu bakal ditamatkan tidak lama lagi.

“Adalah amat malang dan sangat sedih bahawa kami perlu melepaskan sebahagian kakitangan sedia ada,” kata Mueller.

Proses penamatan perkhidmatan adalah sebahagian daripada rancangan untuk membentuk semula MAS.

Aset dan liabiliti sedia ada akan dipindahkan kepada MAS Bhd yang bakal mengambil alih operasi bermula 1 September.

Setiap kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan akan mendapat bayaran asas bergantung kepada gred mereka.

Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd juga layak untuk menerima bayaran ex-gratia.

Mereka yang ditawarkan bekerja di MAS Bhd juga akan mendapat bonus.

Proses penamatan perkhidmatan akan berlaku secara berperingkat, malah sesetengah daripada mereka mungkin ditawarkan kontrak jangka pendek.

Mueller berkata proses lengkap pemulihan MAS mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun.

“Ia adalah satu proses yang sangat kompleks. Kami mempunyai prosedur berperingkat yang sangat perlahan,” kata Mueller.

MAS Bhd akan menjadi syarikat penerbangan yang baharu, dengan wajah baharu dan penjenamaan semula.

Mueller berkata beliau menjangkakan tidak akan menerima maklum balas positif daripada keseluruhan pekerja yang ditawarkan menyertai MAS Bhd.

“Jika sambutannya kurang 100 peratus, kita akan buat tawaran pusingan kedua dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak menerima tawaran pada pusingan pertama,” katanya.

Jika perlu beliau berkata mungkin akan wujud penawaran untuk pusingan ketiga.

Beliau berkata, mungkin terdapat sebab-sebab tertentu untuk mereka menolak menyertai MAS Bhd, tetapi beliau akan memberikan butiran lengkap pada Isnin depan supaya kakitangan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat. – mStar