Rangkaian pasar raya diskaun terbesar
Eropah, Aldi, terpaksa memohon maaf kepada pelanggan Muslim setelah
didapati menjual produk sosej daripada bahan kulit dan darah babi,
tetapi diberi label halal di London.
Sebaliknya, pengurusan pasar raya berasal dari Jerman itu mendakwa,
pembekal sosej ini menyatakan bahawa mereka tersilap memasang label
halal dan sudah memaklumkan kepada Aldi tentang kesalahan tersebut.
“Kami minta maaf kepada pengguna yang terkena impak daripada
kesalahan kami … kami juga ucap terima kasih kepada masyarakat yang
beritahu kesalahan ini,” kata pengarah pembekalan sosej, Kushal dan
Vinita Duggal.
Jurucakap Aldi dalam pada itu menjelaskan bahawa pihaknya sudah
melakukan penyelidikan dan produk sosej tersebut hanya dijual di
cawangan pasar raya itu di wilayah Scotland malah ia sudah pun ditarik
dari pasaran.
“Kami meminta maaf atas kekeliruan ini dan bagi pelanggan yang sudah
membeli sosej ini, diharap sila mengembalikan produk tersebut dengan
segera untuk kami ganti kepada yang lain,” kata kenyataan Aldi.
Foto produk sosej babi ‘halal’ ini menjadi perbualan panas ramai
pengguna media sosial di Eropah apabila mereka menunjukkan bahagian
belakang produk jelas menyatakan ia diperbuat dengan bahan kulit dan
darah babi.
“Ini benar-benar tidak dapat diterima, saya berasa dipermainkan, ia
melanggar moral dan agama. Komuniti Muslim tidak patut dilayan begini”
kata seorang pelanggan Aldi, Manahil Khan kepada akhbar Britain, The Mirror.
Aldi yang diasaskan sejak 1946 berpangkalan di Jerman kini memiliki
lebih 9,600 cawangan di 18 buah negara Eropah selain Amerika Syarikat
dan Australia dengan hasil jualan lebih 50 bilion euro (RM200 bilion). —
Agensi