QINGDAO (China) – Kedah bakal menjadi pusat perikanan antarabangsa
terbesar di Asia Tenggara khususnya bagi ikan tuna menerusi projek
Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang akan dilaksanakan dengan
kerjasama sebuah syarikat dari China.
Kerjasama antara syarikat Qingdao Lu Hai Feng Investment Co Ltd (Lu
Hai Feng) yang berpangkalan di sini dengan Perbadanan Kemajuan Negeri
Kedah (PKNK) itu akan melibatkan pelaburan awal bernilai kira-kira RM1
bilion dan menyasarkan pendaratan ikan sebanyak satu juta tan setahun.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Lu Hai
Feng mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan terutamanya ikan tuna
di mana syarikat itu menguruskan sebuah pelabuhan khusus untuk ikan tuna
di sini.
“Pihak pentadbiran di bandar raya Qingdao dan Lu Hai Feng berminat
untuk menggunakan Kedah sebagai pusat perikanan antarabangsa terutama
bagi ikan tuna yang ditangkap di Lautan Hindi, yang mempunyai sumber
ikan tuna yang banyak.
“Cadangan mewujudkan KIFT itu adalah sebagai akses ikan tuna yang
ditangkap di Lautan Hindi untuk China khususnya Qingdao. Menerusi
cadangan itu, ia boleh diproses di Kedah dan di hantar ke China melalui
pelabuhan Qingdao,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyaksikan
majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek KIFT di
sini, Selasa.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Abd
Rahim Man dan Pengurus Besar Lu Hai Feng, Liu Jisheng, dengan disaksikan
Mukhriz dan Datuk Bandar Qingdao Zhang Xinqi.
Mukhriz berkata Lu Hai Feng memilih Kedah kerana lokasi strategiknya
di Utara Semenanjung yang boleh menerima ikan dari Lautan Hindi dan
syarikat itu telah mendapat lesen untuk menangkap ikan laut dalam
daripada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani melibatkan 20 kapal.
“Setiap kapal bernilai RM100 juta, yang bermakna keseluruhan kapal
bernilai kira-kira RM2 bilion. Dalam perancangan dan cadangan yang
mereka kemukakan untuk pertimbangan kerajaan Kedah, nilai pelaburan
peringkat awal mencecah RM1 bilion,” katanya.
Menurutnya, perkara ini telah dibincangkan dalam majlis perancangan
ekonomi negeri dan diluluskan majlis mesyuarat kerajaan negeri manakala
lokasi yang dicadangkan ialah di Temengau berhampiran Kuala Kedah.
Mukhriz berkata projek itu melibatkan kerja menambak kawasan laut
yang luas bagi membolehkan kapal laut berlabuh dan menurunkan ikan yang
ditangkap di Lautan Hindi.
Selain itu, katanya, cadangan pembangunan KIFT akan turut memberi
manfaat kepada nelayan tempatan kerana selain sektor perikanan laut
dalam, ia juga melihat keperluan masyarakat nelayan tempatan yang lebih
dekat dengan persisiran pantai.
“Saya juga bertanya kepada Persatuan Nelayan Kedah, yang apabila
mereka dengar cadangan ini, mereka sangat mengalu-alukannya kerana ia
membuka pasaran dan akses kepada teknologi, selain kita (kerajaan
negeri) akan mewujudkan kemudahan yang lebih selesa, lebih sempurna
untuk kegunaan mereka.
“Saya optimis ia akan beri suntikan baharu kepada industri perikanan kita bukan hanya Kedah tetapi seluruh Malaysia,” katanya.
Projek berskala besar yang melibat beberapa fasa itu bakal mewujudkan
lebih kurang 20,000 pekerjaan bernilai tinggi yang secara tidak
langsung dapat membantu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)
negeri tersebut dan negara, katanya.
Menurutnya, projek KIFT tersebut akan dilakukan secepat mungkin dan
kini kedua-dua pihak sedang menyelesaikan beberapa perkara yang
melibatkan syarikat itu dan pihak berkuasa bandar raya Qingdao.
Sementara itu, Mukhriz berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS)
telah memeterai MoU Persahabatan dengan bandar raya Qingdao yang antara
lainnya melibatkan sektor pelancongan iaitu pertukaran pelancong antara
kedua-dua bandar raya itu.
MoU itu ditandatangani oleh Datuk Bandar MBAS Datuk Mat Noh Ahmad dan Naib Datuk Bandar Qingdao Liu Minjun. – BERNAMA