ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat
Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman
mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata
Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata,
mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau
penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak
mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal
dalam kariah sendiri.
"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon
waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di
pejabatnya di sini.
Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran
lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat
Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan
meninggalkan solat Jumaat.
Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat
itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah
Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun
lepas.
Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian
Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula
menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.
Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri
ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam
menguatkuasakan undang-undang itu.
"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.
Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan
ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan
maklumat pelapor akan dirahsiakan. – Bernama