Kedah Tak Mampu Tampung PATI Rohingya, Bangladesh - Mukhriz Mahathir


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah meminta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian(UNHCR) dan kerajaan pusat untuk mengatasi kekangan yang dihadapi negeri itu dalam menghadapi kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Rohingya dan Bangladesh.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata negeri itu tidak mampu menampung jumlah PATI yang terlalu ramai memandangkan kemudahan yang sedia ada tidak mencukupi.

"Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan pihak (Jabatan) Imigresen pun mempunyai keupayaan tetapi keupayaan ini tentunya akan tercabar sekiranya (PATI) yang datang itu (dalam jumlah) ribuan (orang)," katanya kepada pemberita di Langkawi semalam.

Menurutnya cara terbaik untuk menangani masalah kebanjiran PATI itu perlu dikenal pasti oleh semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan atas semangat perikemanusiaan.

"Kita tidak mahu pelarian ini (terus) dijadikan mangsa, terkorban di tengah jalan dan sebagainya. Kita hendak membantu sedaya yang kita boleh tetapi mengikut kemampuan yang ada," katanya.

Kedah menghadapi kebanjiran PATI Rohingya dan Bangladesh sejak dua minggu lepas apabila sejumlah 1,158 orang pendatang berkenaan ditangkap selepas mendarat di sini pada 11 Mei lepas.

Kumpulan PATI itu kemudiannya dipindahkan secara berperingkat-peringkat ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

Insiden pendaratan itu berlaku selepas negara jiran, Thailand memulakan usahanya untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemui lebih 30 mayat yang ditanam di bahagian selatan negara itu, awal bulan ini.

Rabu lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju menyediakan tempat perlindungan sementara untuk menampung kira-kira 7,000 PATI lagi yang dipercayai masih berada di perairan antarabangsa berdekatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak juga meminta pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan PATI yang ditemui berdekatan perairan Malaysia. - Bernama