Kejam! Bayi Dibuang Di Tepi Longkang Rumah Tanpa Seurat Benang Di Kupang, Baling

Bayi ini dijumpai di tepi longkang sebuah rumah.
BALING - Seorang ibu muda tergamak membiarkan bayi yang baharu dilahirkan kesejukan tanpa seurat benang apabila meninggalkannya di tepi longkang belakang sebuah rumah, di Kampung Parit Panjang, Kuala Pegang, Kupang, awal pagi semalam.

Bayi malang yang masih bertali pusat itu berjaya diselamatkan orang awam yang menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 2 pagi mengatakan terdapat seorang bayi baharu lahir ditinggalkan dalam keadaan tidak berpakaian dan masih bernyawa.

“Hasil siasatan awal, polis berjaya mengesan ibu kandung bayi berkenaan dan identitinya juga sudah dikenal pasti. Suspek merupakan orang tempatan berusia 20-an,” katanya.

Menurutnya, bayi dan wanita terbabit kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Baling dan kedua-duanya dalam keadaan sihat.

“Kita belum mendapatkan keterangan daripada suspek berikutan masih lemah selepas melahirkan bayi. Kita akan tunggu sehingga ibu bayi terbabit sihat untuk mendapatkan keterangan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian