"Keluarlah Dari PAS.." - Abdul Hadi

ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersilakan mana-mana pihak di dalam parti itu yang mahu berpecah supaya segera keluar meninggalkan PAS.

Kata Abdul Hadi, perselisihan faham merupakan satu perkara biasa bagi mana-mana parti politik sekalipun, namun sekiranya benar-benar mahu berpecah, maka pihak berkenaan perlu membuat keputusan meninggalkan parti.

"Perbezaan pendapat, kita bermesyuarat.

"Perselisihan pendapat adalah perkara biasa di dalam sebuah parti, yang hendak berpecah, keluarlah dari PAS," ujar Abdul Hadi seolah menghalau puak-puak yang dikenali sebagai 'jebon' di dalam parti itu.

Presiden PAS itu turut menegaskan bahawa keterbukaan PAS selama itu telah menyebabkan ramai pihak dari pelbagai latar belakang menyertai parti itu sehingga ada yang sanggup menzalimi diri sendiri.

"Oleh sebab itu, ada yang berfikiran lebih maju, ada yang menzalimi diri sendiri dan bermacam-macam jenis manusia di dalam PAS hari ini," kata Abdul Hadi yang dipetik dari laman lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.

Sebelum ini wujud dakwaan dari kalangan pro-ulama yang mengatakan wujudnya gerakan cuba menjatuhkan Abdul Hadi dari jawatan Presiden PAS oleh pihak yang dilabel sebagai "syaitan dalam jemaah".

Selain itu, kecoh juga diperkata sebelum ini tentang wujudnya golongan "jebon" di dalam PAS yang dikatakan lebih bersikap wala' kepada para pimpinan DAP dan PKR berbanding Presiden PAS sendiri.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi sebelum ini membayangkan NGO yang diketuainya berkemungkinan berubah menjadi parti politik pro-Pakatan Rakyat, bergantung kepada keputusan pemilihan PAS pada muktamar parti itu, Jun ini. -Kedahnews.com