ALOR SETAR – Kem-kem transit yang ditemui pihak berkuasa Malaysia di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai diguna untuk menempatkan mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia yang “dibeli” oleh ejen besar sindiket itu dikenali dengan nama “Yassin”.
Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Rohingya Society in
Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali kepada Bernama hari ini yang turut
berkata, Yassin berbangsa Rohingya dan dikenali sebagai seorang daripada
ejen utama sindiket itu.
Menurutnya, walaupun berasal dari Myanmar tetapi Yassin, yang berumur
dalam lingkungan 30-an tinggal di selatan Thailand, manakala operasi
sindiket pemerdagangan manusia diketuainya pula menjangkau sehingga ke
negara ini.
“Hasil maklumat kami, beliau merupakan ejen yang bertanggungjawab
“membeli” warga Rohingya dan Bangladesh terbabit daripada sindiket di
selatan Thailand dengan harga tertentu dan ditempatkan secara sementara
di kem-kem transit di Wang Kelian sebelum dijual kepada pihak lain.
“Yassin merupakan ejen sindiket pemerdagangan manusia yang besar dan
nama beliau amat dikenali ramai di kalangan Rohingya memasuki Malaysia
yang menjadi mangsanya,” menurutnya, yang tinggal di negara ini sejak 20
tahun lalu.
Yusuf berasal dari sebuah bandar sempadan Myanmar-Bangladesh,
Maungdaw, turut mendedahkan, kem-kem transit mangsa pemerdagangan
manusia di Wang Kelian itu beroperasi sejak dua hingga tiga tahun yang
lalu.
Pendedahan beliau itu turut diperakui rakannya, Mohammad Hussain Abu
Hassan yang turut bergiat aktif di dalam RSM Kedah membantu kebajikan
pendatang Rohingya dari Myanmar.
Tiga hari lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
mengumumkan penemuan 139 kubur dan kem-kem transit yang ditinggalkan
sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan
Malaysia-Thailand.
Sehingga hari ini, pasukan forensik polis menemui tiga mayat yang
sudah reput dari kubur-kubur yang terletak di dalam kem transit
terbabit.
Yusuf berkata, apa yang berlaku di dalam kegiatan pemerdagangan
manusia adalah ejen-ejen besar sindiket seperti Yassin akan membeli
pendatang-pendatang Rohingya atau Bangladesh yang baru tiba di selatan
Thailand.
Disebabkan beliau tinggal dan beroperasi di selatan Thailand, Yassin
mempunyai hubungan rapat dengan ketua-ketua sindiket lain yang terdiri
daripada rakyat Thailand atau rakyat Myanmar berbangsa Rakhine.
Yassin kemudiannya akan menempatkan pendatang-pendatang yang baru
dibelinya itu di suatu lokasi seperti di kem transit di kawasan hutan di
Wang Kelian sebelum diagih-agihkan kepada ejen-ejen kecil dengan
bayaran tertentu untuk memperoleh keuntungan berlipat-ganda, katanya.
“Ejen-ejen kecil inilah atau orang suruhan mereka yang akan mengambil
pendatang-pendatang seperti di Wang Kelian untuk dihantar ke serata
Malaysia,” katanya.
Kedudukan Wang Kelian yang dikelilingi hutan-hutan tebal, bukit-bukit
curam batu kapur serta berhampiran dengan sempadan Thailand, katanya,
menjadikan ia laluan kegemaran bagi sindiket-sindiket pemerdagangan
manusia.
Pintu sempadan Wang Kelian terletak berhadapan dengan pintu sempadan
Wan Prakob, Satun dan sejak beberapa tahun lepas, pengunjung bebas
keluar masuk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pada Sabtu dan Ahad
menerusi pintu masuk ini tanpa menggunakan pasport, namun kelonggaran
itu dibatalkan baru-baru ini atas sebab-sebab keselamatan.
Ditanya tentang kedudukan terkini Yassin, Yusof berkata, beliau
dipercayai melarikan diri dengan menyelusup masuk ke Myanmar selepas
kegiatannya di selatan Thailand itu dibongkar pihak berkuasa negara
jiran itu.
“Saya diberitahu oleh sumber-sumber saya yang mengatakan Yassin telah
melarikan diri ke Myanmar, tidak lama selepas pihak berkuasa Thailand
membongkar pembabitannya di dalam sindiket itu,” katanya.
Yassin menurutnya, berkemungkinan berasa lebih selamat berada di
negara asalnya di Myanmar pada ketika ini, daripada di Thailand apabila
beliau sedang diburu. – BERNAMA