Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan Tentera Darat 2015 di Kem Syed Sirajuddin hari ini. - Foto BERNAMA |
GEMAS – Dua kem Pusat Latihan Khidmat negara (PLKN) di Kedah iaitu
Kem PLKN Rimba Taqwa di Sik dan Kem PLKN Rekreasi Belia di Baling akan
dijadikan pusat penempatan sementara bagi pelarian Rohingya. Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kem itu
masing-masing mampu memuatkan kira-kira 400 orang pelarian.
Beliau berkata, penempatan pelarian di kem PLKN merupakan
penyelesaian jangka pendek dengan penyelesaian jangka masa panjang perlu
direalisasikan bagi mengatasi masalah pelarian Rohingya.
“Bagi (penyelesaian) jangka panjang, Thailand, Indonesia dan Malaysia
perlu mencari jalan untuk kongsi bersama penempatannya selain badan
antarabangsa termasuk UNHCR perlu memainkan peranan.
“Mereka (badan antarabangsa) perjuangkan hak asasi manusia, tetapi
kalau tiada negara yang mengambil mereka (pelarian Rohingya), tak kan
Malaysia sahaja yang pikul tanggungjawab untuk pastikan hak mereka
(pelarian Rohingya) dibela.
“Tiada gunanya mereka laungkan hak asasi manusia tetapi mereka tidak
membantu,” kata Hishammuddin pada sidang akhbar selepas menyaksikan
Demonstrasi Kuasa Tembakan Angkatan Tentera Malaysia di Kem Syed
Sirajuddin di sini hari ini.
Kem PLKN Rimba Taqwa, Sik |
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin.
Hishammuddin berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia juga telah
menggerakkan empat kapal dengan kekuatan 350 anggota bagi melaksanakan
operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada pelarian Rohingya yang
kini berada di lautan.
Beliau berkata, kapal itu ialah KD Kasturi, KD Lekir, KD Ledang dan
KD Laksamana Tun Abdul Jamil yang ketika ini sedang mempergiatkan
rondaan di kawasan yang terlibat dan bersedia memberikan bantuan yang
diperlukan kepada pelarian Rohingya.
“Kerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara Angkatan
Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan dapat menghapuskan
kegiatan pemerdagangan manusia merentas sempadan negara terutamnya yang
melibatkan masyarakat Rohingya,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan geopolitik dan kemakmuran negara pada masa
ini perlu dikekalkan kerana jika keadaan negara bergolak, musuh akan
mudah mengambil kesempatan terhadap Malaysia yang pada masa itu aset
pertahanan canggih pun sudah tidak berguna lagi. – BERNAMA