Kementerian Tubuh 5,716 Komuniti Wifi Seluruh Negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mewujudkan 5,716 Komuniti Wifi di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada 622,852 penduduk sehingga 30 April lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kewujudan Komuniti Wifi yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Tanpa Wayar bermatlamat untuk memberi kesedaran awal tentang Internet kepada masyarakat luar bandar.

“Ia juga bagi mendorong langganan jalur lebar yang lebih baik melalui tawaran sedia ada bagi menyediakan perkhidmatan terbaik jalur lebar kepada penduduk luar bandar,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Raheem (BN-Baling) di persidangan Dewan Rakyat.

Abdul Azeez mahu kementerian menyatakan langkah yang diambil bagi meningkatkan taraf kampung di kawasan luar bandar kepada Kampung Tanpa Wayar (Wifi) kerana masih banyak lagi kampung di luar bandar yang mengharapkan kemudahan tesebut.

Jailani berkata kerajaan tidak melupakan penduduk di luar bandar dengan meluaskan projek jalur lebar melalui program Pusat Internet 1Malaysia dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar.

Melalui projek ini, kita akan menambah atau naik taraf ibu sawat bagi memberikan sehingga capaian 20 mega bait sesaat, katanya.

Beliau turut berkata bagi menaik taraf capaian Internet di Baling, kementerian telah membina tujuh lagi menara telekomunikasi, enam Pusat Internet 1Malaysia dan beberapa program untuk memastikan kawasan berkenaan mendapat akses Internet sebaiknya. – BERNAMA