Kempen Politik #PRKPermatangPauh Dikhuatiri Tercemar Fitnah

PERMATANG PAUH - Mungkin terlalu taksubkan politik, kempen politik Permatang Pauh dikhuatiri tercemar dengan fitnah dan pembohongan, seolah "matlamat politik itu menghalalkan cara" ahli-ahli politik tertentu.
 
Terpampang di media-media arus perdana mahupun lidah pembangkang tentang perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa, 22, dengan jejaka dari Kazakhstan, Daniyar Kessibayev yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Pada 17 sehingga 19 April lalu pula, rombongan pengantin perempuan bertandang ke Kazakhstan bagi menghadiri majlis perkahwinan di sebelah pihak pengantin lelaki.

Namun, terdapat desas desus yang mempersoalkan sumber kewangan bagi menanggung sehingga 300 orang wakil pihak perempuan untuk ke sana.

Setelah berlarutan beberapa minggu, akhirnya, salah seorang pegawai yang turut menghadiri majlis gilang-gemilang di Kazakhstan merungkai persoalan tersebut.

Menurut Rizal Mansor, isu bahawa tanggungan untuk membawa rombongan tersebut ke sana adalah dengan menggunakan duit kerajaan adalah tidak benar.

Memetik kenyataannya dalam laporan di portal Malaysiakini, kos membawa sebahagian individu yang turut serta bersama PM dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah ditanggung oleh keluarga pihak lelaki dan hadir atas jemputan.

“Orang tanya siapa yang bawa, kami pergi atas jemputan keluarga lelaki. Saya pun rapat dengan keluarga lelaki sebab itu dijemput.

“Sebahagian tetamu diterbangkan ke Kazakhstan oleh keluarga lelaki (Daniyar).

“Untuk level macam saya yang bukan korporat ini tentu disediakan oleh keluarga sana yang menjemput, sebahagian lagi atas kos mereka sendiri, tidak timbul satu sen pun duit kerajaan di sini,” kata Rizal.

Dalam pada itu, Rizal turut menafikan bahawa rombongan berjumlah 300 orang dan berkata, hanya 250 individu terbang ke sana.