Kerajaan Negeri Kelantan Tidak Akan Menyerah Kalah Pada Gerakan Di Mahkamah

ALOR SETAR - Keputusan yang dibuat parti Gerakan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Mahkamah Persekutuan disifatkan sebagai satu tindakan melampau.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pihaknya tidak akan menyerah kalah dan akan berjuang habis-habisan bagi menegakkan undang-undang Islam berkenaan di Kelantan.

“Kita akan lawan, cuma saya tertanya-tanya, apa tujuan Gerakan yang bersungguh-sungguh, sebab usaha (Hudud) ini boleh ditolak dalam Parlimen.

“Kenapa Gerakan perlu failkan di mahkamah dan jadikan benda ini secara ‘legal’ sebab ia boleh ditolak dalam Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Mohd Amar menambah, tindakan Gerakan akan menyebabkan masyarakat Islam meragui parti tersebut.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa pihak Kerajaan Pusat tidak menghalang perlaksanaan undang-undang Islam di Kelantan, termasuk enakmen hudud di negeri itu.

Kenyataan Jamil itu kemudiannya disambut baik oleh kepimpinan Kerajaan PAS Negeri Kelantan yang bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam meneliti dan mengkaji pindaan enakmen jenayah syariah berhubung hudud.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Gerakan menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan perundangan tersebut.

Menurut Timbalan Pemuda dan Ketua Pasukan Perundangan Gerakan, Andy Yong Kim Seng, notis usul itu dikemukakan di Pusat Sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di Putrajaya kira-kira jam 11 pagi. - Kedahnews.com