Kerajaan Selangor Diselar Sembunyi Maklumat Tentang GLC

Tan Keng Liang
KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan menyelar kerajaan Selangor kerana gagal mengamalkan dasar kebebasan maklumat bagi memastikan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, beliau merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh Wakil Rakyat Kampung Tunku, Lau Weng San mengenai pentadbiran Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Saya merujuk kepada tuduhan Weng San bahawa beliau gagal mendapatkan nama dan gaji pegawai tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor.

“Surat untuk mendapatkan maklumat itu telah dihantar kepada Pejabat Menteri Besar Selangor sejak lebih sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keng Liang berkata, tuduhan yang dibuat oleh Weng San tersebut sangat memeranjatkan kerana kerajaan Selangor sentiasa mendakwa akan memastikan kebebasan maklumat di negeri itu.

Malah, katanya, kerajaan Selangor telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat 2012 yang telah dikuat kuasakan.

Justeru, beliau mahu tahu sama ada Mohamed Azmin telah menggantung pelaksanaan enakmen tersebut dibawah pentadbirannya.

“Polisi baharu kerajaan Selangor mengenai perkara itu mengelirukan orang ramai. Menteri Besar perlu menjelaskan perkara tersebut,” katanya.