Kereta Api Laju KL - Singapura: Tiket Berharga RM400 Pergi Balik

SINGAPURA – Tiket tambang perjalanan secara ulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura melalui rangkaian kereta api laju (HSR) tidak akan dijual melebihi RM400 atau S$148 bagi setiap penumpang.

Perkara itu didedahkan stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal.

Beliau dilaporkan berkata, harga yang dikenakan itu dapat dinikmati oleh semua pengguna sesuai dengan teknologi canggih tren laju tersebut dan masih tidak terlalu mahal berbanding kos tiket kapal terbang.


Mohd Nur Ismal menambah, HSR dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan kerana para pelancong antarabangsa boleh ditawarkan lawatan ke Malaysia dan Singapura sebagai satu pakej bersepadu.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi pengangkutan dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Walter Theseira membuat rujukan contoh laluan kereta api laju Taipei-Kaohsiung sepanjang 345 kilometer.

Secara kebetulan, ia jarak perjalanan yang boleh dibuat perbandingan dengan tren Kuala Lumpur-Singapura dan Taiwan mengenakan tambang sebanyak RM190 satu hala sebagai satu ukur tanda untuk menetapkan harga tiket.


Kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura juga mengambil perhatian bahawa sasaran awal bagi menyelesaikan projek itu pada 2020 perlu dinilai semula kerana skala dan tahap kerumitan projek berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengenal pasti beberapa stesen bagi sistem HSR iaitu Bandar Malaysia di Sungai Besi, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Nusajaya dan perhentian terakhir adalah di Jurong East, Singapura.

Ia bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dengan Singapura kepada hanya 90 minit berbanding 3 jam dengan kapal terbang yang termasuk segala jenis pemeriksaan rutin di lapangan terbang. - Agensi