Kereta Terbalik, Tiang Elektrik Tumbang, Pokok Ranap!

OKLAHOMA CITY – Beberapa siri puting beliung membadai barat daya Oklahoma City hari ini sehingga menyebabkan cuaca buruk di beberapa negeri Great Plains, kata pegawai. 

Pegawai berkata, tiada laporan mengenai kecederaan tetapi sebahagian struktur bangunan mengalami kerosakan. 

Penumpang, pelawat dan pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Will Rogers di sini, dipindahkan ke terowong pejalan kaki selama kira-kira 30 minit ketika ribut mula membadai di kawasan berkenaan. 

Puting beliung itu menterbalikkan kereta, menumbangkan tiang elektrik dan meranapkan pokok.

Selain itu, Jabatan Pengurusan Kecemasan Oklahoma berkata, beberapa jalan ditutup akibat serpihan. 

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan sudah mengeluarkan amaran puting beliung di kawasan berkenaan bermula dari tengah Texas sehingga ke tengah Nebraska yang didiami berjuta-juta penduduk. 

Katanya, berpuluh puting beliung dilaporkan membadai kawasan berkenaan. – Reuters