KOTA KINABALU – Kes penculikan seorang lelaki dan seorang wanita di
Restoran Ocean King di Sandakan tiga hari lalu berkemungkinan besar
didalangi ‘orang dalam’, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin
Abdul Rahman.
Beliau berkata disyaki ‘orang dalam’ telah bersekongkol untuk
memberikan maklumat mengenai sasaran yang bermutu tinggi dan perkara itu
sedang disiasat.
“Polis telah menerima maklumat berkenaan penculikan akan berlaku di Sabah dan salah satu lokasi itu adalah Sandakan.
“Pihak Esscom yang diketuai oleh Datuk (Abdul) Rashid Harun telah
membuat Operasi Bersepadu di kawasan Sandakan yang menumpukan kawasan
panas dan juga pendatang asing tanpa izin.
"Malangnya ia berlaku di
tempat yang tidak diduga,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi
WhatsApp hari ini.
Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khasa
Pantai Timur Sabah (Esscom) sedang berusaha untuk mengkaji dan
mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan supaya kes penculikan
sedemikian tidak berlaku lagi.
Jalaluddin turut mengesahkan kedua-dua keluarga mangsa menerima
panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa sebagai penculik dan
meminta wang tebusan yang tinggi nilainya dan tidak boleh diberitahu
kepada umum.
Katanya, sehingga kini, keluarga kedua-dua mangsa juga enggan membuat
laporan polis meskipun telah dinasihatkan oleh polis supaya berbuat
demikian.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya keluarga mangsa diugut berikutan keengganan mereka membuat laporan polis.
Katanya kedua-kedua mangsa culik dilaporkan dalam keadaan selamat dan kini berada di salah sebuah pulau di perairan Filipina.
Pada Khamis, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan
menculik lelaki dan wanita itu dengan disaksikan kira-kira 100
pelanggan termasuk kanak-kanak.
Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang
daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa
ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai
perunding elektrikal di Kemboja. – BERNAMA