Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad |
KUALA SELANGOR - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid
Samad mencurigai kenyataan kononnya bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah meninggalkan pesanan supaya parti
itu menjalinkan hubungan baik dengan Umno.
Justeru beliau menggesa ahli dan penyokong PAS supaya tidak
mempercayai maklumat yang disampaikan pihak ketiga berhubung dakwaan
pesanan Nik Aziz di akhir hayatnya itu.
“Saya tak tahu apa yang disampaikan adalah tepat atau sebaliknya.
Tapi saya rasa rekod ucapan dan pendirian tok guru cukup banyak untuk
dirujuk.
“Tak payah nak bersandarkan kepada pihak ketiga. Video, ucapan dan
tulisannya cukup banyak. Jadi bila ada yang kata saat-saat dah nak
meninggal tiba-tiba dibisik supaya suruh kerjasama dengan Umno, saya
sangat curiga,” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Meneruskan
Legasi Tuan Guru Nik Aziz’ di sini, Selasa malam.
Pandangan Khalid itu sekaligus menolak pengakuan anak bekas Menteri
Besar Kelantan itu sendiri, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa
bapanya pernah berpesan supaya mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi
memudahkan pelaksanaan hudud.
Sebelum ini, dilaporkan Nik Muhammad Abduh mendedahkan bahawa bapanya
berpesan kepadanya supaya memastikan wujud kerjasama antara PAS dengan
Umno untuk memartabatkan agenda Islam.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mengakui
bahawa Nik Aziz sangat berhasrat untuk melihat hudud dilaksanakan di
Kelantan.
“Saya tak nak nafi beliau memang bercita-cita sangat untuk melihat
pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, tapi sampai ke tahap nak
kata lupakan Pakatan Rakyat, tolak pakatan dan bersama dengan Umno dan
BN, itu saya tak percaya walaupun satu peratus,” katanya.
Jelas Khalid, Nik Aziz adalah individu paling tegas menghalang jalinan kerjasama antara PAS dan Umno.
“Sangat pelik kerana sepanjang hayatnya, beliau mempunyai sikap yang
tegas berhubung Umno dan BN, tiba-tiba kononya pada saat akhir hayatnya
meninggalkan pesan atau wasiat yang sebaliknya.
“Bagi Nik Aziz beliau tak pernah anggap Umno ini sebagai satu parti
yang boleh kita manfaatkan. Bagi beliau Umno adalah masalahnya. Yang
menghalang kefahaman terhadap Islam, yang menghalang kejayaan perjuangan
Islam bukan DAP tapi Umno.
"Ini ketegasan yang nyata dan jelas kerana beliau faham siapa sebenarnya lawan kita, saingan kita,” katanya. -mStar