Khazanah Lantik Pentadbir MAS Bagi Permudahkan Proses Pemindahan

KUALA LUMPUR – Pemegang saham tunggal Malaysian Airline System (MAS), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melantik Datuk Mohammad Faiz Azmi sebagai pentadbir bagi MAS berkuat kuasa hari ini.

Khazanah dalam satu kenyataan media memberitahu, pelantikan pentadbir berkenaan dijangka akan memudahkan pemindahan aset dan liabiliti terpilih daripada MAS kepada syarikat baharu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjelang 1 September 2015.

“MAS akan terus beroperasi sehingga 31 Ogos 2015 termasuk pada hari tersebut. Seterusnya, MAB akan mengambil alih dan mengendalikan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 1 September 2015,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelantikan jawatan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Khazanah dan dibuat menurut Akta Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS) yang diluluskan di Parlimen tahun lalu.

Kata kenyataan itu, Akta MAS memperuntukkan kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

“Peralihan daripada MAS ke MAB adalah salah satu daripada 12 komponen penting bawah Pelan Pemulihan MAS (PPM) yang telah diumumkan pada 29 Ogos 2014.

“PPM bertujuan menyediakan garis panduan penyusunan semula syarikat penerbangan tersebut bagi mengembalikannya ke landasan keberuntungan yang mampan,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, PPM turut menyatakan pendanaan pelaburan bersyarat oleh Khazanah yang berjumlah sehingga RM6 bilion yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan tertakluk kepada syarikat penerbangan tersebut memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan. -Kedahnews.com