Kisah Pemuda Hina TGNA, Mengembek Mirip Kambing

Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
ALOR SETAR - Pemergian bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau lebih dikenali dengan nama singkatannya di interneti, TGNA, ke rahmatullah pada 12 Februari lalu begitu dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Malah, hingga hari ini pusara milik tokoh politik dan ilmuwan agama itu tidak henti-henti dikunjungi orang ramai yang ingin memberikan pengormatan.

Di Shah Alam, diadakan satu program tribute bertajuk Bicara Murabbi Ummah: The Untold Story bersempena 100 hari permergian TGNA.

Ketika program, cerita yang disampaikan oleh anak saudara Allahyarham, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani tentang seorang pemuda yang mengembek seperti kambing selepas menghina TGNA telah menarik perhatian ramai.

Ini cerita Ustaz Ahmad Dusuki...

“Sepanjang membesar dengan beliau, saya melihat ramai orang datang bertemunya dan membawa botol-botol air dan juga mengadu masalah… orang nak bercerai yang bertengkar dan sebagainya, beliau menyelesaikan permasalahan seperti ini.

“Pernah satu ketika saya nak turun solat Asar, beliau naik ke rumah dalam keadaan senyum. Saya tanya kenapa? Dia kata, ada orang datang nak minta air tawar (penawar).

“Ketika itu beliau belum lagi menjadi Menteri Besar. Dia kata ada sorang ibu datang minta air tawar untuk anaknya yang dalam keadaan tidak berhenti mengembek seperti kambing.

“Tok Guru cerita bahawa pemuda itu mengejek janggutnya… janggut Tok Guru macam kambing dan membuat bunyi seperti kambing.

“Kemudian pemuda itu mengembek tidak berhenti sehinggalah ibunya minta air tawar supaya anaknya itu berhenti berbunyi seperti kambing.”

Menurut Ustaz Ahmad Dasuki, meskipun dihina Allahyarham tidak pernah berdendam sebaliknya sanggup membantu pemuda berkenaan.

“Tok Guru baca doa dan beri air tawar. Selang seminggu, ibunya itu datang dan beritahu Alhamdulillah anaknya telah berhenti mengembek,” katanya.


Walau bagaimanapun, harus diingat yang Maha Berkuasa adalah Allah SWT dan tidak mungkin berlaku apa-apa sekalipun jika tidak diizinkan-NYa, wallahu'alam. -Kedahnews.com