PADANG BESAR (Thailand) – Bicha Ponboon, seorang lelaki Thailand
dalam lingkungan usia 30-an berbangga apabila alamat rumahnya ada
ditulis Wall Street, daerah bursa terbesar dunia di New York, Amerika Syarikat (AS).
Namun, jangan terkejut, dia bukanlah broker saham sebaliknya hanyalah
peniaga yang berjual beli pelbagai komoditi selain perkhidmatan serta
menetap di sebelah tembok batu tanda rasmi sempadan Malaysia-Thailand.
Tidak seperti glamor Wall Street di New York, kehidupan di Wall Street,
Padang Besar dibayangi tembok konkrit setinggi 2.4 meter dan sepanjang
21 kilometer di sepanjang hutan Perlis-Satun/Songkhla sehingga ke Laut
Andaman.
Ironi, Bicha menjadikan struktur binaan itu sebagai penyokong untuk
bumbung rumahnya, tempat dia berkongsi teduh dengan kakak dan dua anak
saudaranya sambil set televisyen dipasang di dinding tembok yang kukuh
itu.
Di kawasan sempadan itu, ramai peniaga Thailand mendirikan kasino
terbuka yang menawarkan pelbagai pakej perjudian menarik tanpa permit
sah dan tentunya bebas daripada gangguan pihak berkuasa negaranya
sendiri.
Dianggarkan terdapat berdozen-dozen premis karaoke, bar, kafeteria,
rumah urut bahkan pusat pelacuran terbuka yang beroperasi sepanjang
sempadan itu sekali gus menghidupkan suasana Wall Street dengan kegiatan ekonomi.
Itulah cerita rahsia di sebalik tembok sempadan Malaysia-Thailand
yang mungkin dianggap sunyi namun tiada siapa tahu, keadaannya bukanlah
seperti tembok Berlin di Jerman atau tembok di Tebing Barat dengan
Israel.
Sesuatu yang kurang diketahui, tembok kedua-dua negara itu dibina
melibatkan dua barisan dinding selari dengan membiarkan ada ruang kosong
selebar 10 meter antara garisan rasmi politik antarabangsa
Malaysia-Thailand.
Disebut juga sebagai ‘no-man-land‘ atau wilayah tanpa
manusia, ia menjadi tempat popular dalam kalangan sindiket penyeludup
barangan dan pemerdagangan manusia meskipun dikawal ketat pihak berkuasa
Malaysia.
Malangnya perkara itu tidak berlaku di negara jirannya!
Pendedahan Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung membongkar
lebih 50 pegawai polis tempatan adalah dalang aktiviti jenayah rentas
sempadan.
Ia susulan penemuan lebih 30 mayat dan kem-kem pendatang asing tanpa
izin dari Bangladesh selain pelarian Rohingya dari Myanmar yang dalam
transit perjalanan menuju ke Malaysia di Padang Besar, Songkhla.
Pembongkaran awal bulan ini kemudian disusuli awal minggu ini apabila
Polis Diraja Malaysia mengesahkan penemuan 28 kem dan ratusan kubur
sama sepanjang 50 kilometer di Perlis dekat sempadan dua negara itu.
Hakikatnya seperti ditegaskan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur, faktor manusia menjadi
punca berlaku kegiatan pemerdagangan pendatang dan pelarian berkenaan.
Beliau menjelaskan, siasatan awal menunjukkan ada segelintir penguat
kuasa beberapa agensi kerajaan sanggup menjadi ‘tali barut’ kepada
sindiket Thailand sehingga menyebabkan sempadan negara itu mudah
diceroboh.
Malaysia yang berkongsi sempadan 515 kilometer dengan Thailand pernah
merancang membina tembok yang lebih sukar dibolosi bukan sahaja bagi
mengekang aktiviti penyeludupan, bahkan pergerakan militan asing.
Malangnya, usaha itu dikhianati oleh petugas sempadan sendiri yang
sanggup menggadaikan ‘maruah’ demi mengejar habuan material tanpa
menghiraukan kesan buruk akibat sabotaj mereka itu. – Agensi