PUTRAJAYA – Hasil tambahan negara yang dikutip melalui Cukai Barang
dan Perkhidmatan (GST) akan dipulangkan kepada rakyat dan butirannya
akan dibentangkan dalam belanjawan akan datang, kata Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Perdana menteri yang juga menteri kewangan berkata menerusi cara itu,
rakyat akan menerima bahawa langkah hasil kutipan cukai enam peratus
yang berkuat kuasa 1 April itu sebagai kebaikan jangka panjang untuk
ekonomi dan rakyat.
“Kita (kerajaan) perlu beritahu pendapatan lebih, ke arah mana kita
menggunakan hasil tambahan. Kita kutip demi rakyat, kita pulangkan
kepada rakyat. Ini semua cabaran jangka pendek yang perlu dihadapi,”
katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini.
GST dilaksanakan mulai 1 April pada kadar enam peratus dan
menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kadar
keseluruhannya sebanyak 16 peratus.
Menyedari terdapat rungutan daripada rakyat mengenai pelaksanaan GST,
Najib menegaskan pihak berkuasa perlu memantau keadaan itu dengan
mendapatkan maklumat timbal balas.
“Maklumat itu adalah untuk mengetahui sama ada rungutan mereka ada
asas atau disebabkan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan
untuk terus mengekalkan harga jualan dengan menambah enam peratus
walaupun SST (cukai jualan dan perkhidmatan) telah dimansuhkan.
“Sepatutnya apabila SST dimansuhkan dan digantikan dengan GST, para
peniaga mengurangkan harga jualan dan menambah enam peratus. Apa yang
berlaku mereka kekalkan harga dan tambah enam peratus (GST),” jelas
Najib.
Katanya kerajaan akan meminta pihak berkuasa khususnya Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk melaksanakan
penguatkuasaan yang menyeluruh dan berterusan.
Beliau juga berkata Kabinet telah menetapkan kesalahan pencatutan
berlebihan perlu dihadapkan ke mahkamah seberapa segera yang boleh.
Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua pihak akan terus
memahami GST sebagai satu sistem percukaian yang lebih efisien dan
efektif yang menjadikan asas kewangan fiskal negara lebih kukuh.
Najib juga memberikan analogi keperluan memakan antibiotik daripada memilih jalan populis yang merugikan.
“Kita mesti makan (antibiotik) sampai habis supaya kesihatan kita
boleh pulih. Kalau perlu melakukan penambahbaikan, kita mesti ada
kejayaan dan keberanian walaupun dipukul ombak dan bahtera, tetapi kapal
mesti menuju ke destinasinya,” jelas beliau. – BERNAMA