Konflik 20 Tahun: Air Kumbahan Masuk Ke Bendang Orang Kampung Di Jitra

Mohd Saad menunjukkan sawah padinya yang dicemari air kumbahan.
JITRA - Sejak 20 tahun lalu penduduk di Taman Kenanga dan penduduk Kampung Padang Lembu, Jalan Paya, di sini, menghadapi masalah saliran air kumbahan yang tidak disalurkan ke loji berkenaan.

Akibat masalah itu, mereka terpaksa menggunakan saliran parit yang sepatutnya berfungsi bagi mengalirkan air ke dalam bendang.

Tindakan yang dilakukan mereka itu menyebabkan pencemaran berlaku pada tanah dan sawah diusahakan penduduk kampung.

Penduduk kampung, Mohd Saad Ramli, 54, berkata, pengaliran masuk sisa kumbahan dari Taman Kenangan menyebabkan pencemaran pada air yang masuk ke dalam sawahnya.

Menurutnya, selain itu, sampah daripada sisa kumbahan tersebut mendap ke dalam tanah yang dikhuatiri akan menjejaskan kualiti tanah sawah berkenaan.

“Saya kesal dengan perkara itu apabila mendapati kaca dan plastik masuk ke kawasan sawah.

“Selain menyebabkan padi rosak, keadaan ini memberi tekanan kepada kami apabila pekerja sawah takut untuk bekerja di sawah kami. Mereka takut dijangkiti penyakit dan berasa tidak selamat untuk bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Terpaksa tutup saliran

Bagi mengelak kemasukan sisa kumbahan ke kawasan padi, pemilik sawah  bertindak menutup saliran parit yang menghubungkan parit sisa kumbahan dari perumahan tersebut ke kawasan sawah.

Penduduk, Che Omar Hami, 51, berkata, sistem pengairan parit yang dibina mereka menghubungkan Sungai Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) ke kawasan bendang itu.

Oleh itu, jelasnya, sisa kumbahan dari kawasan perumahan ini tidak boleh dialirkan ke Sungai Mada kerana akan mengakibatkan pencemaran pada air yang akan disalurkan ke bendang penduduk.

“Kami ambil tindakan dengan menutup saliran yang dibuat penduduk taman supaya kawasan padi kami tidak terancam. Tetapi apabila kami tutup, mereka akan korek semula laluan itu.

“Saya anggap mereka cuba menceroboh hak kami sebagai pemilik tanah dan parit itu juga kami bina sendiri untuk mengalirkan sumber air dari Sungai Mada ke kawasan bendang,” katanya.

Manakala, penduduk di Taman Kenanga pula mengambil tindakan mengorek semula laluan parit berkenaan ke perparitan sawah tersebut.

Difahamkan, situasi itu berlaku beberapa kali dan sudah dirujuk kepada pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Mada dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagaimanapun, tiada tindakan berkesan dilakukan sehingga hari ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kenanga, Abdullah Saman berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana sistem perparitan dalam taman berkenaan tidak mengalir dan bertakung.

“Saya difahamkan masalah ini sedang ditangani pihak berkenaan, bagaimanapun buat sementara waktu kita terpaksa menggunakan parit itu untuk mengelak berlaku masalah takungan sisa kumbahan di taman ini.

“Bukan niat kita menceroboh seperti yang didakwa dan perkara ini telah diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya.

Penyelesaian melibatkan banyak pihak

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP),  Mohd Asrol Sany Awang Puteh berkata, pihaknya mendapati perumahan di Taman Kenanga itu tidak disediakan loji kumbahan oleh pemaju.

Menurutnya, mungkin disebabkan keluasan kawasan taman itu, menyebabkan loji kumbahan tidak perlu diwujudkan dan memenuhi syarat  ditetapkan  MDKP bagi memperoleh sijil layak menduduki (CF) ketika itu.

“Sepatutnya sisa air kumbahan dari rumah di taman berkenaan dialirkan melalui loji kumbahan berdekatan, bagaimanapun kita difahamkan parit aliran sisi kumbahan tidak mencapai graviti aliran ke loji kumbahan.

“Bagi menyelesaikan masalah ini ia melibatkan banyak pihak seperti Mada, JKR dan MDKP sendiri. Jadi ia akan mengambil masa. Kita memahami keluhan dan rintihan penduduk dan saya berharap semua pihak bersabar.

“Buat masa ini kita telah arahkan pegawai bagi pihak MDKP untuk melihat masalah yang wujud bagi tindakan susulan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian